Followers

Thursday, October 7, 2010

Pengkaji Kebenaran

Salman Al-Farisi r.a.

Sahabat besar Nabi ini bukan berbangsa Arab tapi berbangsa Parsi. Seorang sahabat yang berusia panjang, ada yang mengatakan beliau ini sebenarnya hampir sezaman dengan Nabi Isa a.s dan terus hidup ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan wafat ketika zaman Khalifah Uthman r.a. Wallahu'alam. Mari kita lihat sendiri kisah hidupnya mencari sinar Ilahi menurut apa yg diceritakannya sendiri pada suatu majlisnya:

"Aku berasal dari Isfahan, penduduk satu kampung yang bernama 'Ji', bapa ku seorang penghulu di daerah itu dan aku merupakan makhluk ALLAH yang paling disayangi. Aku berkhidmat dalam agama Majusi hingga diberikan tugas dan sekaligus amanah sebagai penjaga api yang bertanggung jawab atas nyalanya dan tidak membiarkannya padam.

Bapa ku memiliki sebidang tanah dan pada suatu hari aku disuruhnya ke sana. Dalam perjalanan ke tempat tujuan, aku lalu di satu Gereja milik kaum Nasrani. Ku dengar mereka sedang bersembahyang, maka aku masuk ke dalam untuk melihat apa yang mereka lakukan. Aku kagum melihat cara mereka sembahyang dan kata ku dalam hati: "Ini lebih baik dari apa yang aku yakini selama ini!"  Aku tidak beranjak dari tempat itu sampai Matahari terbenam dan membatalkan niat ku pergi ke tanah milik orang tua ku.

Kerana agama mereka menarik perhatian ku, ku tanyakan kepada orang orang Nasrani dari mana asal usul agama mereka? "Dari Syiria!" jawab mereka.

Ketika telah berada di hadapan bapa ku, ku katakan kepadanya: "Aku lalu pada suatu kaum yang sedang melakukan upacara sembahyang di Gereja. Upacara mereka amat mengkagumkan aku. Ku lihat pula agama mereka lebih baik dari agama kita." Kami pun bersoal jawab melakukan diskusi dengan bapa ku dan berakhir dengan dirantainya kaki ku dan dia memenjarakan diri ku.

Kepada orang orang Nasrani, aku menghantar berita bahawa aku telah memeluk agama mereka. Ku minta pula agar bila datang rombongan dari Syiria supaya aku diberitahu sebelum mereka kembali, kerana aku akan ikut bersama mereka ke sana. Permintaan ku itu mereka kabulkan, maka ku putuskan rantai kaki ku. Lalu melarikan diri dari penjara dan menggabungkan diri kepada rombongan itu menuju Syiria.

Sebaik sahaja sampai di sana, ku tanyakan seorang yang 'alim dalam agama itu, dijawabnya ia adalah Pendeta pemilik Gereja. Maka datanglah aku kepadanya, ku ceritakan keadaan ku. Akhirnya tinggallah aku bersamanya sebagai pelayan, melaksanakan arahan mereka dan belajar. Malangnya ternyata Pendeta tersebut seorang yang kurang baik dalam agamanya, ia mengumpulkan sedekah dari orang ramai dengan alasan untuk diagih agihkan kepada yang berha menerimanya, namun ternyata disimpan untuk dirinya sendiri, kemudian ia pun meninggal dunia.

Mereka melantik orang lain sebagai gantinya dan ku lihat tidak seorang pun yang lebih baik beragamanya dari Pendeta baru ini. Aku pun mencintainya sedemikian rupa, sehingga hati ku merasa tidak seorang pun yang lebih ku cintai sebelum itu daripadanya.

Ketika ajalnya telah dekat pula, tanya ku pada nya: "Sepertimana maklum telahpun dekat saat berlakunya takdir ALLAH SWT atas diri tuan. Maka apakah yang mesti aku lakukan dan siapakah sebaiknya yang harus ku hubungi?"

"Anak ku! Tidak seorang pun dalam pandangan ku yang sama langkahnya dengan aku kecuali seorang pemimpin yang tinggal di Mousul"

Lalu sebaik sahaja ia meninggal dunia, aku pun pergi ke Mousul dan menghubungi Pendeta tadi dan aku tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki ALLAH SWT. Kemudian sebaik sahaja ajalnya telah dekat pula, ku tanyakan kepadanya tentang siapa yang mesti aku ikuti. Ditunjukkan kepada ku orang soleh yang tinggal di Nasibin, aku datang kepadanya dan ku ceritakan hal ehwal ku kepadanya, lalu aku pun tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki ALLAH SWT  pula.

Ketika ia hendak meninggal dunia, aku bertanya pula kepadanya. Maka disuruhnya aku menghubungi seorang pemimpin yang tinggal di 'Amuria, satu bandar yang di bawah pentadbiran kerajaan Rom. Aku pergi ke sana dan tinggal bersamanya, sedang sebagai bekalan hidup, aku berternak sapi dan kambing beberapa ekor.

Kemudian dekatlah pula ajalnya dan aku bertanya kepadanya, kepada siapa aku dipercayakan? Ia berkata: "Anak ku! Tidak seorang pun yang ku kenal serupa dengan kita keadaannya dan dapat ku serahkan engkau kepadanya. Tetapi sekarang telah dekat datangnya masa kebangkitan seorang Nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim secara murni. Beliau nanti akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi Kurma dan terletak diantara dua bidang tanah berbatu batu hitam! Seandainya kamu dapat pergi ke sana, temuilah dia! Beliau mempunyai tanda tanda yang jelas dan terang, ia tidak mahu makan dari hasil sedekah sebaliknya bersedia menerima hadiah dan di bahunya ada cop kenabian yang bila engkau melihatnya segeralah engkau mengenalinya!"

Suatu hari, berlalulah kafilah berkenderaan, lalu ku tanyakan dari mana mereka datang? Tahulah aku mereka dari jazirah Arab, maka ku tanyakan kepada mereka: "Bolehkah tuan-tuan membawa ku ke negeri kalian? Sebagai imbalannya ku berikan sapi dan kambing kambing ku ini kepada tuan sekelian!" "Baiklah!" jawab mereka.

Demikianlah mereka membawa ku dalam perjalanan sehingga sampai di suatu negeri yang bernama Wadi al-Qura. Di sana aku menerima penganiayaan, mereka menjual ku kepada seorang Yahudi. Ketika nampak oleh ku banyak pokok Kurma, aku berharap kiranya negeri inilah yang pernah disebutkan oleh Pendeta kepada ku dulu, yakni yang akan menjadi tempat hijrah Nabi yang ditunggua. Tapi ternyata sangkaan ku salah!

Mulai saat itu, aku tinggal bersama orang yang membeli ku sehingga pada suatu hari, datang seorang Bani Quraizah yang membeli ku pula dari tangannya. Aku dibawa ke Madinah dan demi ALLAH SWT, baru sahaja ku lihat negeri itu, aku pun yakin itulah negeri yang disebutkan dulu!

Aku tinggal bersama orang Yahudi itu dan bekerja di perkebunan kurma milik Bani Quraizah, sehingga datang saat dibangkitkan Rosulullah s.a.w. yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani 'Amar bin 'Auf di Quba.

Pada suatu hari, ketika aku berada di puncak pokok kurma, sedang majikan ku tengah duduk di bawahnya, dengan tiba tiba datang seorang Yahudi saudara sepupunya yang mengatakan padanya: "Bani Qilah celaka! Mereka berhimpun mengelilingi seorang lelaki di Quba' yang datang dari Makkah dan mendakwa dirinya sebagai Nabi!!"

Demi ALLAH! Baru sahaja ia mengucapkan kata-kata itu, tubuh ku pun gementar hingga pokok Kurma itu bagai bergoncang dan hampir sahaja aku jatuh menimpa majikan ku di bawah. Aku segera turun dan kata ku pada orang tadi: "APakah tuan?? Ada berita apa kah??"

Majikan ku mengangkat tangan lalu memukul ku sekuat tenaganya, ia menengking ku, "APA URUSAN MU DENGAN PERKARA INI!?? KEMBALI KE TEMPAT MU SEMULA DAN LAKUKAN KERJA KERJA MU!!!" Maka aku pun kembalilah bekerja...


Pertemuan Pertama

Setelah hari menjelang senja, ku kumpulkan segala yang ada pada ku, lalu aku keluar dan aku keluar pergi berjumpa Rosulullah s.a.w. di Quba'. Aku masuk kepadanya ketika baginda s.a.w sedang duduk bersama beberapa sahabatnya, lalu kata ku kepada mereka:

"Tuan-tuan adalah perantau yang sedang dalam kesempitan. Kebetulan saya ada mempunyai persediaan makanan yang telah ku janjikan untuk ku sedekahkan, setelah mendengar keadaan tuan-tuan maka pada pandangan ku tuan tuanlah yang lebih berhak dan paling layak menerimanya dan makanan tersebut telah pun ku bawa ke sini." 

Kemudian makanan tersebut saya letak di hadapan Rosulullah s.a.w. Sabda baginda (yang maksudnya:)

"Makanlah dengan nama ALLAH SWT"

Tetapi baginda s.a.w. tidak sedikit pun menghulurkan tangan untuk menjamah makanan itu. "Nah! Demi ALLAH! kata ku dalam hati, inilah satu dari tanda-tandanya....bahawa ia tidak mahu memakan harta sedekah!"

Aku kembali pulang, tetapi hari berikutnya, pagi pagi aku kembali berjumpa dengan Rosulullah s.a.w. sambil membawa makanan serta kata ku kepadanya:

"Saya lihat tuan enggan makan dari sedekah, tetapi saya ada mempunyai sesuatu yang ingin ku serahkan kepada Tuan sebagai hadiah". Lalu ku letakkan makanan di atasnya. Maka Sabda Baginda s.a.w. kepada sahabatnya (yg bermaksud:)

" Makanlah dengan menyebut nama ALLAH SWT"

Namun kali ini, Baginda s.a.w. ada sama makan bersama mereka. "Demi ALLAH!" kata ku dalam hati, "Inilah tanda yang kedua bahawa ia bersedia menerima hadiah!"

Aku kembali pulang dan tinggal di tempat ku beberapa lama. Kemudian aku pergi berjumpa dengan Rosulullah s.a.w. untuk ketiga kalinya dan ku temui Baginda s.a.w. sedang berada di Baqi', sedang menghantar jenazah dan dikelilingi oleh sahabat sahabatnya. Baginda s.a.w. memakai dua lembar kain lebar yang satu dipakainya untuk sarung dan yang satu lagi sebagai baju.

Ku ucapkan salam kepadanya dan aku menolehkan pandangan hendak melihatnya. Rupanya ia mengerti akan maksud ku, maka disingkapkan kain burdah dari lehernya hingga nampak pada bahunya tanda yang ku cari iaitu cop kenabian sepertimana yang pernah disebut oleh Pendeta beberapa waktu silam.

Melihat hal itu, aku meratap dan menciumnya sambil menangis lalu aku dipanggil menghadap oleh Rosulullah  s.a.w. Aku duduk di hadapannya lalu ku ceritakan kisah ku kepadanya sebagaimana yang ku ceritakan tadi.

Aku pun memeluk agama Islam, malangnya masalah perhambaan telah menjadi penghalang bagi ku untuk menyertai perang Badar dan Uhud. Lalu pada suatu hari Rosulullah s.a.w. bersabda kepada ku (yang maksudnya:)

"Mintalah pada majikan mu agar ia bersedia membebaskan mu dengan menerima wang tebusan."

Maka aku meminta pada majikan ku sebagaimana yang dikatakan oleh Rosulullah s.a.w. pada masa yang sama Rosulullah s.a.w menyuruh para sahabat untuk membantu ku dalam masalah kewangan. Demikianlah aku dimerdekakan oleh ALLAH SWT dan hidup  seorang muslim yang merdeka serta mengambil bahagian bersama Rosulullah dalam perang Khandaq dan peperangan yang lain.

No comments:

Post a Comment