Followers

Thursday, May 12, 2011

Sebaik baik Makhluk ...

Pemimpin Agung - Muhammad saaw

Ketika Sayyidatina Aminah Binti Wahab mengandungkan Nabi Muhammad saaw, dia melihat dan mengalami pelbagai keajaiban. Antaranya ia merasakan sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dirasakan oleh wanita wanita lain yang sedang hamil. 

Pada suatu malam, Siti Aminah bermimpi seolah olah ada cahaya dari perutnya yang memancarkan sinar terang benderang menyinari seluruh alam. Sehingga dalam mimpi tersebut, Siti Aminah dapat melihat bangunan tinggi yang terletak di Kota Syam. Kemudian pada waktu pagi, ia menceritakan tentang mimpinya kpd suaminya, Abdullah bin Abd Muttalib. 

Beliau berkata: "Wahai suami ku, sesungguhnya malam tadi aku bermimpi seolah olah ada cahaya dari perutku yang menyinari seluruh alam sehingga aku dapat melihat bangunan bangunan yang tinggi di Kota Syam. Setelah itu aku mendengar suara yang mengatakan bahawa aku sedang mengandung pemimpin umat akhir zaman!"

Isteri Abdul 'Ash menceritakan: : "Ketika aku datang ke rumah Aminah pada malam kelahiran Nabi Muhammad saaw, aku melihat rumah Abdullah ada cahaya menerangi seluruh rumahnya. AKu melihat seolah olah ada bintang yang turun sehingga aku khuatir ia akan jatuh!"

Keadaan di rumah Abdullah menjadi riang dan gembira sehingga ramai di kalangan kaum keluarganya datang untuk mengucapkan selamat atas kelahiran bayi yang ditunggu tunggu itu. Abu Lahab pun ketika itu merasakan kegembiraannya sehingga dibuktikan kegembiraannya itu dengan dimerdekakan hamba sahayanya. Sementara Abdul Muttalib, datuk Rasulullah saaw ikut merasa bahagia juga sehingga ia pergi ke Masjidil Haram membawa cucunya itu tawaf mengelilingi Ka'abah sebagai tanda kesyukurannya kepada ALLAH.

Pada malam kelahiran Nabi Muhammad saaw, banyak perkara ajaib yang telah berlaku. Pada malam itu juga berhala berhala yang berdiri tegak di depan Ka'abah dengan taqdirNya telah jatuh sendiri tersungkur ke tanah. Ini adalah tanda bahawa patung patung itu akan dibersihkan oleh bayi yang baru lahir itu pada suatu masa nanti. Pada malam itu juga cahaya dari rumah Abdullah menyinari bangunan bangunan yang tinggi di negeri Syam. Peristiwa ini sebagai isyarat bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda saaw nanti akan sampai ke negeri Syam dan penduduk penduduk kota itu akan disinari dengan ajaran yang murni itu.

Pada malam itu juga tembok Mahligai Kisra menjadi retak. Kemudian 14 jendelanya jatuh berguguran. Padahal tembok istana itu dibangunkan dengan kuat dan kukuh. Walaupun demikian, rumah rumah rakyat jelata yang dibangun dengan bahan yg sederhana pada malam itu tidak mengalami apa apa keretakan. Ini juga sebagai tanda bahawa pada suatu ketika nanti kerajaan Parsi akan jatuh ke tangan Islam. Api yang menjadi sembahan rakyat Parsi yang dinyalakan selama ini telah ratusan tahun tidak pernah padam walaupun sekejap, namun pada malam penuh barokah itu, api tersebut telah padam!. Ianya isyarat bahawa ajaran penyembahan api akan musnah seperti padamnya api tersebut ketika lahirnya seorang insan yang mulia yang bakal memadam api penyembahan itu.

Ibu susuan Halimah As-Sa'diyah

Ketika Halimah As Sa'diyah menunggang seekor keldai dan suaminya menunggang kuda betina berangkat ke Kota Makkah, serta ikut bersama sama mereka wanita wanita tukang susu yang lain. Kerana pada kebiasaannya para wanita Arab Quraisy pergi ke tempat yang jauh untuk mencari penghasilan yang lebih. Mereka berusaha mencari anak anak orang kaya untuk diambil upahnya menyusukan mereka.

Bila Halimah pergi ke rumah Siti Aminah dan mendapatinya keluarga yang susah dan ditaqdirkan pula Nabi Muhammad saaw adalah anak yatim, lantaran itu Halimah As-Sa'diyah menolak tawaran Siti Aminah kerana menjangkakan penghasilan tentu tidak selumayan daripada anak anak orang kaya yang memang menjadi sasaran tiap ibu susu mencari upah. 

Namun setelah ia puas mencari yang lain tidak berjumpa, barulah Halimah As-Sa'diyah berpatah balik untuk mengambil Nabi Muhammad saaw sebagai bayi susuan dan jagaannya. Halimah As-Sa'diyah memberitahu suaminya yang dia bertekad tidak mahu pulang dalam keadaan hampa, alangkah baiknya mereka mengambil saja anak yatim ini sambil berniat untuk menolongnya. Suaminya pun bersetuju dengan harapan moga moga dengan berkat anak yatim itu mereka mendapat keberkatan.

Ketika dalam perjalanan pulang dari Makkah ke rumah membawa Nabi Muhammad saaw untuk dipelihara mereka, unta mereka yang tua lagi uzur itu tiba tiba sahaja didapati dapat berlari dengan kencang sehingga kawan kawan mereka ketinggalan di belakang dan mereka sampai ke rumah lebih dahulu daripada  yang lain. Ketika perjalan pergi ke Makkah pada awalnya, unta dan keldai Halimah As-Sa'diyah dan suaminya ketinggalan di belakang sebaliknya unta kawan kawan mereka lebih laju berlari dan terlebih dahulu sampai ke kota Makkah. Inilah permulaan yang kedua dua suami isteri merasakan ketika mula mula bersama sama Nabi Muhammad saaw.

Maka bermulalah Halimah As-Sa'diyah menyusukan baginda saaw, dgn tanpa diduganya tiba tiba air susunya menjadi banyak, padahal sebelumnya air susunya hanya sedikit sahaja dan hanya mencukupi sekadar untuk keperluan bayinya sendiri. Setelah menyusui Nabi Muhammad saaw sehingga kenyang, Halimah As-Sa'diyah masih boleh menyusukan bayinya sendiri sehingga kenyang juga (Nabi dulu menyusu!).

Bahkan, bukan sahaja susu Halimah As-Sa'diyah menjadi banyak, unta mereka yang tua itupun turut mengeluarkan susu yang banyak juga. Sedangkan sebelum itu unta itu tidak lagi mengeluarkan susu kerana terlalu tua. Kejadian aneh itu terjadi sewaktu Halimah As-Sa'diyah merasa  haus dan cuba memerahnya, tiba tiba sahaja susu untanya terpancar dengan banyak sekali. Setelah diminumnya ia tidak kehausan lagi, kekenyangan juga berpanjangan dalam jangkamasa yang lama.

Suami Halimah As-Sa'diyah dapat merasakan bahawa kejadian aneh yg terjadi dalam keluarga mereka itu tidak lain kerana kehadiran anak yatim tersebut yg pada anggapannya bukan sebarang anak yatim biasa kerana sejak ia berada di rumah mereka ia telah membawa keberkatan yang tidak terdugakan.

**************************************************

Sepanjang memelihara dan menyusui Nabi Muhammad saaw, kehidupan Halimah As-Sa'diyah sekeluarga sentiasa berada dalam kedamaian, kegembiraan dan kemakmuran. Segala keperluan dan rezeki didapati berlipat kali ganda dengan mudah. Begitu juga kambing mereka menjadi gemuk, banyak susunya dan banyak berkembang biak sehingga sahabat sahabat mereka di kampung menjadi hairan. 

Ketika musim kemarau, kawan kawan Halimah As-Sa'diyah cuba membawa kambing kambing mereka ke tempat makan kambing-kambing Halimah As-Sa'diyah, namun kambing-kambing mereka tetap kurus juga. Kejadian itu meyakinkan lagi Halimah As-Sa'diyah dan suaminya bahawa keberkatan ke atas keluarga mereka dikurniakan ALLAH disebabkan daripada Nabi Muhammad saaw yg ketika itu masih bayi dan dibawah jagaan mereka.

**************************************************

Suatu ketika, Nabi Muhammad saaw pergi bersama sama dengan saudara sesusuannya untuk mengembala kambing, ketika sampai di tanah lapang tempat kambing kambing mereka meragut makanan, telah datang kepadanya dua orang berpakaian putih bersih menghampiri baginda saaw. Lalu dibaringkan mereka serta dibelah pada bahagian perutnya.

Melihatkan kejadian itu,saudara sesusuannya lari  meninggalkan baginda saaw untuk menemui ayahnya dan melaporkan tentang kejadian itu. Lalu Halimah As-Sa'diyah dan suaminya terus pergi ke tempat di mana baginda saaw berada dalam keadaan cemas dan takut. Tapi, mereka mendapati Nabi saaw berkeadaan seperti sedia kala, kerana pembedahan yang dilakukan oleh dua orang tadi (Malaikat) telahpun selesai. Dengan perasaan senang dan gembira, Halimah As-Sa'diyah memeluk Nabi saaw dan menciumnya. Lalu menanyakan apa yang telah terjadi kepada baginda saaw?

Baginda saaw menceritakan bahawa telah datang dua orang berpakaian putih bersih kepadanya dan membelah perutnya. Mereka membawa bersama mereka bejana emas yang didalamnya diisi air yang sangat sejuk. Mereka mengeluarkan darahnya yang berwarna hitam dan membuangnya. Dua orang lelaki itu berkata: "Darah hitam itu adalah sarang Syaithon. Lalu mereka membersihkan hatinya dengan air yang sejuk itu, kemudian menutup semula perutnya. Mereka mencium dahinya dan memeluknya, selepas itu mereka pun lenyap dari pandangan mata.

Halimah As-Sa'diyah merasa hairan dengan pelbagai perkara ajaib yang berlaku selama beliau menjaga Nabi saaw dan inilah antara yang paling ajaib padanya. Menurut persangkaannya, Nabi saaw akan berumur panjang kelak dan akan menjadi pemimpin besar yang berpengaruh. Siang dan malamnya dihabiskan memerhatikan tingkah laku Nabi Muhammad saaw bagaikan anak kandungnya sendiri bahkan lebih lagi tumpuannya dari anaknya sendiri. Setelaha peristiwa pembedahan itu berlaku, Halimah As-Sa'diyah merasa khuatir akan keselamatan Nabi saaw dan akhirnya ia pergi ke Kota Makkah menyerahkan kembali Nabi saaw kepada bonda kandungnya Siti Aminah.