Followers

Monday, October 4, 2010

Pengenalan

Bismillahirrohmanirrohim

Segala puji pujian hanyalah layak dipersembahkan ke atas Mu Ya ALLAH, pemilik mutlak sekelian alam ini, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sungguh Dia tidak tidur mahupun mengantuk. Seluruh jiwa dan jasad ini adalah milikNya jua. Tiada yang layak disembah melainkan ALLAH.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ahlil bait dan para sahabat baginda r.anhum.

Dengan ini selaku hambaNya yang lemah, aku mengambil peluang untuk menyiarkan semula kisah kisah dari Sirah Nabawiyyah serta sirah Sahabat r.anhum dalam blog. Ianya bukan karya atau kajian aku sendiri yang sememang langsung tak layak pun sedari awal untuk menulis tentang insan insan hebat ini. Aku insyaALLAH akan salin semula kisah kisah mereka ini dari kitab kitab yang ada pada kebanyakan rumah masa kini.

Pepatah silam pun mengatakan, 'tak kenal maka tak cinta' maka atas alasan apa lagi yang hendak kita nyatakan lagi sekiranya kita tak mengenali Baginda Rosul s.a.w. sedangkan kita mengaku umat dan mengaku menyintai baginda. Bolehkah kita selaku insan biasa menerima pengakuan kata kata cinta dari seseorang yang tak berusaha pun untuk mengenali kita malah langsung tak mengenali kita pun. Bagaimana nanti kita mahu mengaku sebagai umatnya kalau kita tak mengenali baginda? Apatahlagi mengamalkan sunnah sunnahnya sedangkan kita tak kenal pun baginda s.a.w.  Ketahuilah wahai diri, mengenali serta menyintai Nabi itu adalah WAJIB hukumnya ke atas kami selaku pengaku umatnya. Maka mudah mudahan, ALLAH menyemarakkan rasa cinta kita kepada baginda s.a.w. bermula dengan kita berusaha untuk mengenali baginda s.a.w.

Maka kita semua maklum dalam hidup ini, kalau kita mahu berjaya dalam sesuatu bidang, sayugianya kita bergurukan atau sekurangnya bertanyakan kepada mereka yang telahpun berjaya merintis jalan dalam bidang yang berkenaan., Itulah sunnahtullah yang telah ALLAH gariskan dalam hidup di dunia ini. Maka untuk kita berjaya dunia dan akhirat mengikut acuan atau sibghah yang ALLAH redho, manakah contohnya? Siapakah orangnya? Dia itulah manusia istimewa, penghulu sekelian Nabi iaitulah Nabi Muhammad bin Abdullah bin Abd Mutholib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihrin bin    s.a.w.  Dan sahabat sahabat kekasihnya yang telah diiktiraf sehinggakan mereka mendapat 'title' rodhiallahu anhu setiap kali nama-nama mereka disebut, melambangkan betapa ALLAH redho akan hidup mereka semasa di dunia ini lagi dan redho ALLAH untuk mereka di akhirat kelak!

Dewasa ini kita kekurangan kalaupun tidak ketiadaan contoh teladan untuk kita ikuti dan contohi. Nilai nilai barat dan asing telah mula menular dalam kehidupan muslim seluruh dunia. Umat menjadi keliru yang mana satu yang patut diikuti, yang mana satu yang betul? Semuanya kelihatan 'logik' dan masuk dek akal, kena pula si pendakyah begitu bijak memainkan kata-katanya, maka yang baik nampak buruk dan yang buruk nampak baik. Berapa ramai yg mencebik kpd mereka yang mengamalkan sunnah zohir seperti berjubah, berserban, berjanggut atau berniqob, jika dibandingkan dengan berapa ramai yg mencebik pada yang memakai topi besbol (topi sudu) atau wanita yang melepaskan rambutnya?  Bukankah umat ini telah keliru mana yang baik , mana yang buruk? (kecuali mereka yang diberikan hidayah oleh ALLAH). Cara hidup Islam menjadi begitu asing dan jauh dari kita, poligami dipandang sinis, pernikahan ditangguh tangguh kerana mahu menghimpun harta duniawi terlebih dahulu,  ibuayah dianggap membebankan, isteri tak menghormati suami dsbnya. Ini semuanya bukan dari cara hidup yg diajarkan oleh Islam tetapi cara hidup kebaratan yg telah dipantakkan dalam minda dan cara hidup kita masa kini (termasuklah aku!)

Maka marilah kita bersama sama terutama diri ku sendiri untuk kita sama sama menelusuri kisah hidup insan agung ini Rosulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.anhum. InsyaALLAH dengan izinNya Yang Maha Esa juga akan diselitkan juga kisah para tobien dan para imam yang soleh dan muktabar seperti imam mazhab yang empat. Namun kemampuan diri ini amatlah terbatas, moga moga ALLAH memberikan kekuatan untuk aku terus beristiqomah menulis dan menyalin kisah kisah kisah manusia manusia istimewa ini insyaALLAH. Semoga ALLAH memilih aku dan kita semua untuk sama sama menelusuri jalan jalan menuju ke arah cahaya ilahi yg telah dirintis oleh kekasih kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat r.anhum dan org org soleh setelah mereka.

Tuan puan bebas untuk mengambil kisah kisah ini samada untuk dicetak sebar kepada muslim lain, rakan rakan atau untuk simpanan dan rujukan peribadi. Semoga usaha yang sedikit ini dikira sebagai amal soleh disisiNya walau sebesar zarah cuma. Moga moga ALLAH menyelamatkan diri ku dan keluarga dan orang orang yang aku sayangi serta umat ini seluruhnya dari azab siksa Neraka yang tak terperi sakitnya di akhirat kelak. Lindungilah kami Ya ALLAH dari siksa api Neraka Mu! Amma ba'du ...

No comments:

Post a Comment