Followers

Sunday, October 10, 2010

Salman Al Farisi r.a.

Salman al-Farisi r.a.

Ketajaman pandangan dan akalnya sentiasa menyelidiki dan mengkaji hakikat kebenaran dan hakikat kehidupan ini. Beliau sungguh berpengalaman dalam hidup, meninggalkan kekayaan dan kesenangan untuk mencari Cahaya Ilahi. Dari satu tempat ke satu tempat, negeri ke negeri, berpindah dari seorang pendeta ke pendeta yang lain, hinggalah bertemu dgn sebaik-baik makhluk ALLAH, Nabi akhir zaman iaitu baginda Rosulullah s.a.w. Ketinggian ilmu dan pengalaman menyaksikan syor dan cadangan beliau membingungkan tentera Ahzab dan membuka ruang dimensi dan inovasi baru dalam strategi peperangan.

Mendapat pengiktirafan dari Baginda s.a.w. sebagai orang yang penuh berilmu ..


Nasihat Seorang Sahabat

Beliau pernah bertamu dan tinggal selama beberapa hari di rumah Abu Darda' r.a. Abu Darda' r.a. adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang kuat beribadah, malamnya dipenuhi ibadah malam dan siangnya ia berpuasa. Salman r.a. telah menasihatkan sahabatnya ini dengan penuh kasih sayang dan penuh kefahaman agama yang tinggi. Siapakah yang mahu atau berani menegur amal ibadah seseorang ketika itu??

Telah berkata Abu Darda' r.a. : "Apakah engkau hendak melarang ku dari berpuasa dan solat kerana ALLAH SWT?"

Jawab Salman r.a. dgn penuh kebijaksanaan:
"Sesungguhnya, kedua mata mu mempunyai hak atas diri mu, demikian pula keluarga mu mempunyai hak atas diri mu. Selain engkau berpuasa, maka berbuka lah juga dan disamping melakukan solat, apa salahnya jika engkau juga berehat dan tidur!"

Peristiwa ini sampai ke pengetahuan baginda Nabi s.a.w. lalu baginda bersabda yang maksudnya:

"Sungguh Salman telah dipenuhi oleh Ilmu"


Perang Khandak

Pada waktu itu, Kaum Anshor sama berdiri lalu berkata: "Salman adalah dari golongan kami!"

Maka bangkitlah pula golongan Muhajirin, kata mereka: "Tidak! ia adalah dari golongan kami!"   (perkara ini bukanlah merupakan satu pertengkaran hanya masing masing mahu merebut Salman sebagai golongan mereka, ianya berlaku dalamm keadaan yang ceria dan gembira)

Lalu Nabi s.a.w.pula memanggil kedua golongan ini lalu bersabda yang maksudnya:

"........Salman adalah golongan kami, Ahli Bait"     - (meremang bulu roma aku menuliskan ini!! Sollu 'Alan Nabiyy!)

Berikutan dari peristiwa itu, Ali bin Abi Tholib r.a. memberikan nama kehormatan pada Salman dengan panggilan 'Luqman al-Hakim'. Pernah ditanyai beliau tentang Salman (telah meninggal ketika itu) maka jawab beliau:

"Ia adalah seorang yang datang dari kami dan kembali kepada kami Ahl al-Bait. Siapa pula diantara kamu sekelian yang akan dapat menandingi Luqman al-Hakim? Ia telah memperolehi ilmu yang pertama dan juga ilmu yang terakhir. Tak ubahnya dibacaya kitab yang pertama dan juga kitab yang terakhir. Tak ubahnya ia bagai lautan yang airnya tidak pernah kering!"


Episode Kehidupannya Setelah Nabi Wafat

Semasa pemerintahan Khalifah Umar r.a. , beliau memberikan penghormatan yang luar biasa pada Salman yang tidak pernah ia lakukan pada mana mana orang pun. Dia telah mengumpulkan para sahabat ketika itu dan mengajak mereka: 

"Mari kita keluar pergi menyambut Salman!"

Lalu ia keluar bersama mereka menuju ke pinggiran kota Madinah utk menyambut kedatangan Salman r.a.

 Sejak bertemu baginda Rosul s.a.w. dan beriman kepadanya, Salman hidup sebagai seorang muslim yang merdeka, pejuang dan sentiasa berkhidmat untuk agama.

Di tahun tahun kejayaan umat Islam, panji panji Islam berkibar di serata pelusuk alam, harta benda dunia melimpah ruah mengalir ke Madinah sebagai pusat Pemerintahan kemudian ianya diagihkan ikut syarak. Pada ketika itu negara mampu untuk membayar gaji dan elaun tetap.


Tatkala Kemewahan Dunia Terhampar Di Kaki Para Pencinta Maut

Seorang tua berwibawa kelihatan duduk di bawah sepohon kayu. Saki baki umurnya asyik dihabiskan memberi khidmat pada agama dan negara. Untuk keperluannya, dianyam daun daun Kurma dijadikan bakul atau bekas keranjang yang kemudiannya dijualnya... Itulah dia SALMAN AL-FARISI R.A!

Kainnya yang pendek, dek kerena pendeknya kadangkala terbuka lututnya tatkala ditiup angin. Padahal dia mampu utk bermewahan sekiranya dia mahu, Elaun dan habuan yang diperolehinya cukup besar antara 4 sampai 6 ribu setahun. Tapi semuanya didermakan tanpa satu dirham pun dia ambil utk dirinya dan keluarga.

"Untuk bahannya, ku beli daun Kurma satu dirham, lalu ku perbuat dan ku jual tiga dirham. Yang satu dirham aku ambil ku buat modal, satu dirham lagi utk nafkah keluarga ku sedang satu dirham bakinya untuk sedekah, seandainya Umar  bin Khattab r.a. melarang ku berbuat demikian, sekali kali tiadalah akan ku hentikan!"

Begitulah Salman, anak jati Parsi, negara yang berada di puncak persada dunia pada ketika itu, hidup dalam kemewahan, kesenangan serta bertamaddun tinggi ketika itu. Dari keluarga yang kaya dan bangsawan, kini menolak segala kemewahan dan kesenangan hidup berpada dengan apa yang ada yang tidak lebih hanya satu dirham utk tiap harinya yg diperolehinya dengan tangannya sendiri!

Dari Hisyam bin Hisan dari Hassan:

"Habuan dan elaun Salman sebanyak lima ribu setahun, ketika ia berpidato di hadapan 30,000 orang, separuh pakaian luarnya dijadikan alas duduk dan separuh lagi menutupi tubuhnya. Sekiranya (tatkala) habuan itu diterimanya, namun ianya didermakan sampai habis, sedangkan untuk nafkah seharian pun dari hasil kedua tangannya"


Menjelang Hari Hari Akhir Salman R.A Di Dunia Fana

Sa'ad Bin Abi Waqqas r.a.datang mengziarahinya, lalu Salman r.a. menangis.. "Apa yang tuan tangisi wahai Abu Abdillah?" (panggilan sehari hari Salman al Farisi) tanya Sa'ad.  Katanya lagi: "Padahal Rosulullah s.a.w. wafat dalam keadaan redho kepada tuan?"

Kata Salam: "Demi ALLAH! Aku menangis bukan kerana takut mati ataupun mengharapkan kemewahan dunia, hanya Rosulullah s.a.w. telah menyampaikan suatu pesan kepada kita yang sabdanya (bermaksud):

"Hendaklah bahagian masing masing mu dari kekayaan dunia seperti ini bagaikan bekalan seorang pengembara"

Padahal harta milik ku sebegini banyak!"

Kata Sa'ad:  "Saya perhatikan tidak ada yang nampak di sekeliling ku kecuali satu pinggan dan secerek bekas air, Lalu aku katakan kepadanya: "Wahai Abu Abdillah, berilah kami suatu pesan yang akan kami ingat selalu dari mu!" Dia pun berkata:

"Wahai Sa'ad! Ingatlah ALLAH di kala masa susah mu, sedang engkau menderita, Dan ingatlah pada keputusan mu jika engkau menghukum dan pada saat tangan mu melakukan pembahagian"

Begitulah teguhnya cinta sahabat pada Nabi, tetap utuh dalam ingatannya pesanan sang kekasih agar mereka tidak dikuasai oleh dunia dan tidak mengambil bahagian daripadanya kecuali sekadar bekalan bagi seorang pengembara!  Salman telah memenuhi pesan itu sebaik baiknya, namun airmatanya masih berderai membasahi pipi bimbang akan dunianya yang 'melampau'.

Tidak terdapat suatu apa pun di rumahnya melainkan satu pinggan sebagai tempat makanan dan cerek untuk minum dan bekas berwudhu', dalam keadaan seperti itu pun beliau merasakan dirinya telah berlaku boros!!! Aduhai diri ku!! Dari sudut kezuhudannya hampir serupa dengan Umar bin Khattab r.a.!

Ketika Menjadi Amir. Sebagaimana maklum, beliau tidak mengambil satu dirham pun dari wang gajian sebagai Amir, Ia tetap menambil nafkahnya dari menganyam daun kurma dan pakainnya tak lebih dari sehelai baju luar, beliau sangat sederhana.

Satu hari, ketika sedang berjalan, ia ditemui oleh seorang lelaki dari Syiria membawa satu bakul buah tin dan kurma, bebanan itu sangat berat hingga melelahkan dirinya. Ternampak oleh akan seorang lelaki yg kelihatannya dari golongan kurang mampu. Tentu org itu sedia untuk diberi upah mengangkat bakul bakul itu. Dipanggilnya orang itu dan dinyatakan hajatnya, lalu orang itu bersetuju untuk menerima tugasan itu dgn diberi upah utk membawa bakul itu sampai ke tempat tujuannya. Merka pun berjalan bersama sama dgn Salman memikul bakul bakul yang berat itu (Salman ini kuat orangnya!)

Dalam perjalanan bertembung dgn satu rombongan, diberikan salam dan dijawabnya, namun diucapkan pula selepas salam itu, "Juga kepada Amir kami ucapkan salam"

"Juga kepada Amir? AMir mana pulak tu? Fikir org Syiria itu. Ia bertambah hairan bila sebahagian dari rombongan itu berlari kepada lelaki itu sambil menawarkan untuk mengangkat bakul bakul yg ada pada pundaknya itu namun ditolaknya dgn baik oleh lelaki itu.  "Berikanlah kepada kami Wahai Amir!"

Haaaa!!!! Org ini adalah Amir di tempat ini! Meloponglah org Syiria tu dan merasa malu kerna telah 'merendahkan' taraf Amir tempat dia datang mencari rezeki dgn berdagang! Rupanya, inilah dianya sahabat Nabi s.a.w. Salman al-Farisi r.a.!!!  Dengan penuh penyesalan dia mahu mengambil semula bakul bakul itu dari Salam tapi dengan tegas ditegah oleh Salman dgn berkata:

"Tidak! sebelum ku hantarkan sampai ke rumah mu!"  (spt yg telah dijanjikan awal tadi)


****************


Suatu ketika Salman pernah ditanya oleh seseorang: "Apa yang menjadi sebab tuan tidak menyukai jawatan sebagai seorang Amir?"

Jawabnya:

"Kerana ia bagaikan sesuatu yang manis ketika memegangnya, tetapi sangat pahit di kala melepaskannya."


****************

Seorang sahabat memasuki rumahnya, didapati dia sedang duduk merebus tepung, tanyanya: "Ke mana perginya pelayan?" Beliau menjawab: Saya suruh untuk satu keperluan, maka saya tidak ingin ia harus melakukan dua pekerjaan sekali gus"


****************


Salman pernah bertanya kepada tukangnya: "Bagaimana corak rumah yang akan tuan diri kan?"

Tukang rumah yg mengetahui akan kezuhudan Salman r.a. menjawab:" Janganlah tuan khuatir! Rumah itu merupakan bangunan yang dapat digunakan bernaung di waktu panas dan tempat berteduh di waktu hujan.
Andaikata tuan berdiri, maka kepala tuan akan sampai pada langit langitnya dan jika tuan berbaring, maka kaki tuan akan terhantuk pada dindingnya"

"Benar!" Sampuk Salman r.a. "Seperti itulah seharusnya rumah yang akan tuan bina!"


****************


Saat Saat Hendak Bertemu ALLAH dan RosulNya

Ketika sakit yang membawa asbab kepada ajalnya, iaitu pada pagi hari kepergiannya, dia telah meminta isteri untuk membawakan simpanan yang pernah diamanahkannya dulu, iaitu seberkas kasturinya yg diperolehi sewaktu pembebasan Jalula dulu. Barang ini sengaja disimpan untuk wangian di hari kematiannya nanti.

Kemudian isterinya disuuh mengambil secangkir air yang ditaburiya dengan kasturi yang dikacau dengan tangannya, lalu kata Salman r.a. kepada isterinya:

"Percikkanlah air ini ke persekitaran ku di ruangan ini! Sekarang telah hadir di hadapan ku makhluk ALLAH SWT, (Malaikat Maut) yang tiada ia makan atau minum, tetapi ia hanya suka wangi wangian...!"

Setelah selesai berkata ia pula kepada isterinya: "Tutuplah pintu dan turunlah!" 

Perintah itupun diikuti oleh isterinya. Dan tidak lama antara isterinya kembali masuk semula, didapatinya roh yang penuh dengan keberkatan telah meninggalkan dunia dan berpisah dari jasadnya.. Ia telah mencapat alam tinggi, dibawa pulang sayap kerinduan, rindu memenuhi janjinya, untuk bertemu lagi dengan Rosulullah s.a.w. dan kedua sahabatnya Abu Bakar dan Umar r.anhuma, para syuhada serta sahabat-sahabat lainnya yang telah lebih awal pergi meninggalkannya di dunia yg fana ini...


Saturday, October 9, 2010

Pakar Strategi Peperangan

Salman al-Farisi r.a.

Salman al-Farisi r.a. sebagaimana pada entri yang lalu dinyatakan tidak dapat menyertai peperangan Badr al kubro dan peperangan Uhud lantaran dirinya yang masih dibelenggu perhambaan dgn tuannya. Maka kini setelah dia merdeka, telah tiba saat dan ketikanya yang dinantikannya ialah untuk dapat menyertai dalam peperangan bersama Nabi s.a.w. Beliau merasakan beliau telahtertinggal dalam dua peperangan yang besar maka inilah masanya kini untuk beliau 'menebus' semula apa yang telah tertinggal selama ini.

Peperangan Khandak

Berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Ada beberapa pemuka Yahudi telah pergi ke Makkah untuk menghasut golongan kafir Makkah supaya bersekutu dan bersatu untuk memerangi Rasulullah s.a.w. serta orang Islam amnya. MEreka berikrar dan berjanji akan memberikan bantuan serta pertolongan yang diperlukan kelak dalam peperangan tersebut. Maka tersebar muslimat mereka yang merancang supaya Quraisy dan Ghathfan menyerang kota Madinah dari luar dan Bani Quraizah (Yahudi) akan menyerang dari dalam.

Maka satu hari terlihatlah pada kaum muslimin akan pasukan tentera yang besar sedang mara ke arah Madinah, lengkap dengan kelengkapan perang serta bekalan untu memerangi umat Islam di Madinah. Mereka panik seketika dan bimbang akan perkara itu sehinggalah diturunkan ayat al-Qur'an berikut:

إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا  هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا
Terjemahannya:

"Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.  Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat." (al-Ahzab: 10-11)

Tentera bersekutu (al-Ahzab) diketuai oleh Abu Suftan dan Uyainah bin Hisn seramai 24 ribu orang. Ianya terdiri dari kabilah Quraisy dan kabilah atau suku yang menganggap Islam ini membahayakan mereka.  Kaum muslimin sedar mereka dalam serba kekurangan utk menghadapi musuh mereka.

Rosulullah s.a.w. mengumpulkan para sahabatnya berkumpul dan bermesyuarat tentangnya dan mereka bersetuju untuk bertahan dan menangkat senjata. Ketika itu muncul seorang yang tinggi tubuhnya dan berambut ikal, seorang yang disayangi dan dihormati oleh Rosulullah s.a.w. iaitu lah, SALMAN al-FARISI R.A.

Berkat dari pengalamannya yang luas tentang strategi peperangan, beliau telah mengusulkan untuk dibuat satu inovasi baru dalam peperangan masyarakat 'Arab ketika itu iaitu dengan menggali parit (saya tertanya tanya, adalah dalam bahasa kita PARIT itu diambil oleh umat melayu terdahulu dari nama sahabat besar ini iaitu Salman al-Farisi?). Perkara ini adalah sesuatu yang asing bagi masyarakat A'rab baik di kalangan muslimin mahupun kafirin. Cadangan ini telah diterima dan diputuskan sebagai keputusan mesyuarah.

Kafir Quraisy melihatkan parit yang terbentang memisahkan antara mereka dan kota Madinah, mereka bingung melihat perkara baru ini. Tak kurang dari sebulan mereka berkhemah dan terpaku di kawasan itu, kekuatan mereka seolahnya terbuang habis di khemah2 kerna tak berdaya menembusi sempadan kota (parit). Akhirnya ALLAH telah mengirimkan angin ribut puting beliung mencabut dan menerbangkan khemah khemah dan memporak perandakan tentera mereka.

Abu Sufyan pun menyeru supaya mereka kembali pulang sahaja ke kampung mereka dalam keadaan kecewa serta mengalami kekalahan pahit.


Kisah Ketika Penggalian Berlangsung

Ketika menggali parit itu, Salman r.a. bersama sama para sahabat r.anhum yang lain sibuk dan tekun sekali dalam tugasan ini. Salman r.a. seorang yang tinggi dan kuat tenaganya, ingat entri terdahulu betapa dgn mudah sahaja beliau memutuskan rantai kakinya yang dipasang oleh ayahnya dalam penjara. Maka ditaqdirkan ALLAH, pada tempat Salman r.a. dan rakan-rakan menggali itu, terdapat seketul batu besar, tugas ini adalah tugas Salman r.a. untuk memecahkannya, sekali hayun batu batu besar tu pecah berderai, tapi, Batu yang satu ini terlalu keras untuk beliau. Dia seolahnya tidak berdaya melakukan apa apa pada batu besar yang keras itu.

Setelah itu maka Salman r.a. telah pergi bertemu Rosulullah s.a.w untuk memohon izin baginda supaya memberi izin garis parit itu dilencongkan sedikit dari batu besar itu dan menghindarkan dari plan asal mesyuarah sebelum ini (ini sunnah dan adab mesyuarat, keputusan mesyuarat dgn sewenangnya kita langgar dan ubah!). Tapi Rosulullah s.a.w. telah mengambil sikap untuk melihat sendiri batu itu, baginda s.a.w. telah pergi ke tempat batu itu terletak. Rosulullah s.a.w. turun ke parit dan meminta kapak serta meminta para sahabat r.anhum supaya menjauhkan diri mereka dari tempat itu dan keluar dari pari bagi mengelak dari terkena serpihan serpihan batu itu kelak

Dengan Basmallah, baginda s.a.w. mengangkat kedua tangannya yang mulia dgn memegang sebilah kapak dan terus menghentam ke arah batu itu Maka terbelah batu itu dan dari belahan batu itu, asbab dari pukulan geselan kapak dan batu, keluar percikan api yang tinggi dan terang!

"Saya lihat, percikan api itu menerangi pinggiran Kota Madinah!" Kata Salman r.a. 

Rosulullah s.a.w. mengucapkan takbir dan bersabda yg maksudnya:

"ALLAHU Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci Istana Negara Parsi dan dari percikan api tadi, nampak oleh ku dengan nyata istana-istana Kerajaan Hirah begitu pun kota kota Maharaja Parsi dan bahawa akan menguasai semua itu!"

Seterusnya, Rosulullah sa.w. megangkat kapak lagi dan memukulkannya ke batu untuk kedua kalinya. Maka nampaklah api seperti sebelumnya. Pecahan batu besar itu menyemburkan percikan api yang tinggi dan sangat tinggi dan sangat terang. Rosulullah s.a.w. bersabda lagi yang maksudnya:

"ALLAHU Akbar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Rom dan nampak nyata oleh ku istana-istana merahnya dan bahawa umat ku akan menguasainya."

Kemudian dipukul buat kali ke tiganya, batu itupun akhirnya pecah berderai sementara sinaran percikan api kali ini amat besar dan bersinar terang benderang! Rosulullah s.a.w. mengucapkan 'LA ILAHA ILLALLAH' diikuti dengan gemuruh kaum Muslimin. Lalu baginda menceritakan yang kali ke tiga itu baginda telah melihat pula istana-istana dan mahligai mahligai di Syiria mahu pun Shan'a dan daerah daerah lain juga berada di bawah naungan bendera ALLAH SWT yg berkibar. Serentak kaum Muslimin pun berseru:

"Inilah yang dijanjanjikan ALLAH SWT dan RosulNya dan benarlah ALLAH SWT dan RosulNya!"

Salman r.a. seorang sahabat yang berumur panjang, beliau sempat melihat ramalan ramalan sabdaan baginda s.a.w. ini berlaku di depan matanya ketika hayatnya. Dilihatnya kota-kota Parsi dan Rom dan dirasakannya sendiri...



*Dipetik dari Rijalun Haula Ar-Rosul
111

Friday, October 8, 2010

Sa'udah Binti Zam'ah, Isteri Nabi Yang Berbudi Luhur

Bismillah.....



Puji-pujian hanyalah untuk Khaliq yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.. Berbicara tentang Rasulullah, Baginda adalah manusia pilihan yang wajib menjadi contoh umat manusia pada hari ini. Baginda pernah berkahwin dengan 13 orang wanita. Salah seorangnya ialah Sa'udah binti Zam'ah al-Amiriyah al-Qiraisyiah. Dia adalah wanita pertama yang dinikahi Nabi SAW sesudah Khadijah r.a. dan dia sendiri yang bersama Nabi SAW selama kurang lebih 3 tahun sehingga beliau berumah tangga dengan 'Aisyah r.a.



Adalah para sahabat radhiyallahu 'anhum melihat Nabi SAW bersendirian sesudah kewafatan Khadijah r.a dan berharap kiranya beliau menikah lagi,penghibur dikala keseorangan. Lalu Khaulah binti Hakim pun pergi mengutarakan pendapat sahabat-sahabat itu. Maka dia berbicara kepada Rasulullah SAW dan menawarkan 'Aisyah binti Ash-Shiddiq r.a. namun dia masih kecil. Maka biarlah dia dipinang,kemudian ditunggu hingga dewasa. Akan tetapi, siapakah yang akan memerhatikan urusan-urusan Nabi SAW dan menjaga putri-putri serta menguruskan rumah beliau ? Pernikahan dengan 'Aisyah tidak akan berlangsung sebelum 2 atau 3 tahun lagi....Dan ditakdirkan seorang janda yang akan menggantikan Saidatina Siti Khadijah r.a. Dia adalah Saudah binti Zam'ah dari bani Ady bin Najjar.



Rasulullah SAW mengizinkan Khaulah meminang keduanya. Pertama Khaulah datang ke rumah Abu Bakar r.a., lalu ke rumah Zam'ah. Dia menemui puterinya, Saudah, dan berkata:"Kebaikan dan berkah apa yang dimasukkan Allah kepadamu, wahai Saudah ?" Saudah bertanya kerana tidak tahu maksudnya, "Apakah itu, wahai Khaulah ?" Khaulah menjawab :"Rasulullah SAW mengutus aku untuk meminangmu." Sa'udah berkata dengan suara gementar, "Aku berharap engkau berjumpa kepada ayahku dan menceritakan hal itu kepadanya." Maka terjadi kesepakatan dan berlangsunglah pernikahan.



Saudah mengalami situasi yang menyebabkan Rasulullah SAW menghulurkan tangannya yang penyayang untuk menolong masa tua dan meringankan kekerasan hidup yang dirasakan oleh Sa'udah. Sa'udah telah hijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan agama bersama suaminya,Sakran bin Amr. Kemudian suaminya meninggal sebagai muhajir dan Saudah tinggal sendirian. Saudah menjadi janda yang hidup di tanah perantauan sebelum tiba di Ummul Qura. Rasulullah SAW telah terkesan oleh wanita muhajir yang mu'min dan janda itu. Ternyata, Saudah bersetuju untuk menikah dengan Rasulullah SAW.



Saudah menjadi surirumah tangga di rumah Rasululullah SAW sehinggalah 'Aisyah r.a. datang ke rumah kenabian. Dia mengetahui kedudukan 'Aisyah di hati Nabi SAW. Maka dia berikan harinya kepada 'Aisyah dan melapangkan tempat pertama baginya di dalam rumah. Saudah berupaya sekuat tenaga untuk mendapatkan keridhoan pengantin yang masih muda dan menyenangkannya ('Aisyah). Setelah menginjak masa tua yang dingin, Saudah sangat berharap untuk tetap menjadi isteri Rasulullah SAW di dunia dan di akhirat serta tidak diharamkan dari kemuliaan yang besar ini, sekalipun dia berikan harinya kepada 'Aisyah setelah merasa dia tidak menginginkan apa yang biasa diinginkan kaum wanita.



Saudah bekerja keras menguruskan rumah tangga yang dibina dengan Rasulullah SAW sementara hatinya sarat dengan keridhoan dan iman hingga Nabi SAW pergi menghadap Tuhannya. Saudah wafat semasa khilafah Saidina Umar Al-Khattab r.a. 'Aisyah r.a. sering menyebut kebaikan dan memujinya atas kebaikan itu. Dia berkata, "Tidak seorang pun yang lebih aku sukai dalam dirinya daripada Saudah binti Zam'ah, hanya saja dia agak keras wataknya." [Al-Istii'aab 4/1867]



Ketika Saudah wafat, Ibnu Abbas sujud. Ditanyakan kepadanya mengenai hal itu, maka dia menjawab,"Rasulullah SAW bersabda:"Apabila kamu melihat suatu tanda, maka sujudlah." Dan tanda ketika wafatnya isteri-isteri Nabi SAW itulah yang menyebabkan dia bersujud.[Thabaqat Ibnu Sa'ad, Al-Ishaabah oleh Ibnu Hajar dan Usudul Ghaabah
oleh Ibnu Atsiir]. Saudah meriwayatkan lima hadits dari Rasulullah SAW. Di antaranya satu hadits diriwayatkan dalam Sahihain [Ibnul Jauzil, Al-Mujtanaa]. Dalam satu riwayat, bahawa Bukhari meriwayatkan dari Saudah dua hadits. [Al-Maqdisi, Al-Kamaal bii Ma'rifatir Rijaal]



Semoga Allah SWT merahmatinya. Saudah menyukai sedekah dan berbudi luhur. Dari 'Aisyah r.a. dia berkata : "Bahawa sebahagian isteri-isteri Nabi SAW berkata, "Wahai Rasulullah, siapakah di antaraa kami yang paling cepat menyusulmu ?" Nabi SAW menjawab, "Yang terpanjang tangannya di antara kalian." Kemudian mereka mengambil tongkat untuk mengukur tangan mereka. Ternyata, Saudah adalah orang yang terpanjang
tangannya di antara mereka. Kemudian kami mengetahui, bahawa maksud dari panjang tanganya adalah suka bersedekah. Saudah memang suka memberi sedekah dan dia yang paling cepat menyusulnya di antara kami." (H.R.Syaikhain dan Nasai). Dalam suatu riwayat lain oleh Muslim :"Yang paling cepat menyusulku di antara kalian adalah yang terpanjang tangannya di antara kalian." 'Aisyah berkata, "Mereka saling mengukur
siapa di antara mereka yang terpanjang tangannya. Ternyata yang terpanjang tangannya di antara kami adalah Zainab, kerana dia melakukan pekerjaan tangan dan mengeluarkan sedekah."


Allahu'alam....

Thursday, October 7, 2010

Pengkaji Kebenaran

Salman Al-Farisi r.a.

Sahabat besar Nabi ini bukan berbangsa Arab tapi berbangsa Parsi. Seorang sahabat yang berusia panjang, ada yang mengatakan beliau ini sebenarnya hampir sezaman dengan Nabi Isa a.s dan terus hidup ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan wafat ketika zaman Khalifah Uthman r.a. Wallahu'alam. Mari kita lihat sendiri kisah hidupnya mencari sinar Ilahi menurut apa yg diceritakannya sendiri pada suatu majlisnya:

"Aku berasal dari Isfahan, penduduk satu kampung yang bernama 'Ji', bapa ku seorang penghulu di daerah itu dan aku merupakan makhluk ALLAH yang paling disayangi. Aku berkhidmat dalam agama Majusi hingga diberikan tugas dan sekaligus amanah sebagai penjaga api yang bertanggung jawab atas nyalanya dan tidak membiarkannya padam.

Bapa ku memiliki sebidang tanah dan pada suatu hari aku disuruhnya ke sana. Dalam perjalanan ke tempat tujuan, aku lalu di satu Gereja milik kaum Nasrani. Ku dengar mereka sedang bersembahyang, maka aku masuk ke dalam untuk melihat apa yang mereka lakukan. Aku kagum melihat cara mereka sembahyang dan kata ku dalam hati: "Ini lebih baik dari apa yang aku yakini selama ini!"  Aku tidak beranjak dari tempat itu sampai Matahari terbenam dan membatalkan niat ku pergi ke tanah milik orang tua ku.

Kerana agama mereka menarik perhatian ku, ku tanyakan kepada orang orang Nasrani dari mana asal usul agama mereka? "Dari Syiria!" jawab mereka.

Ketika telah berada di hadapan bapa ku, ku katakan kepadanya: "Aku lalu pada suatu kaum yang sedang melakukan upacara sembahyang di Gereja. Upacara mereka amat mengkagumkan aku. Ku lihat pula agama mereka lebih baik dari agama kita." Kami pun bersoal jawab melakukan diskusi dengan bapa ku dan berakhir dengan dirantainya kaki ku dan dia memenjarakan diri ku.

Kepada orang orang Nasrani, aku menghantar berita bahawa aku telah memeluk agama mereka. Ku minta pula agar bila datang rombongan dari Syiria supaya aku diberitahu sebelum mereka kembali, kerana aku akan ikut bersama mereka ke sana. Permintaan ku itu mereka kabulkan, maka ku putuskan rantai kaki ku. Lalu melarikan diri dari penjara dan menggabungkan diri kepada rombongan itu menuju Syiria.

Sebaik sahaja sampai di sana, ku tanyakan seorang yang 'alim dalam agama itu, dijawabnya ia adalah Pendeta pemilik Gereja. Maka datanglah aku kepadanya, ku ceritakan keadaan ku. Akhirnya tinggallah aku bersamanya sebagai pelayan, melaksanakan arahan mereka dan belajar. Malangnya ternyata Pendeta tersebut seorang yang kurang baik dalam agamanya, ia mengumpulkan sedekah dari orang ramai dengan alasan untuk diagih agihkan kepada yang berha menerimanya, namun ternyata disimpan untuk dirinya sendiri, kemudian ia pun meninggal dunia.

Mereka melantik orang lain sebagai gantinya dan ku lihat tidak seorang pun yang lebih baik beragamanya dari Pendeta baru ini. Aku pun mencintainya sedemikian rupa, sehingga hati ku merasa tidak seorang pun yang lebih ku cintai sebelum itu daripadanya.

Ketika ajalnya telah dekat pula, tanya ku pada nya: "Sepertimana maklum telahpun dekat saat berlakunya takdir ALLAH SWT atas diri tuan. Maka apakah yang mesti aku lakukan dan siapakah sebaiknya yang harus ku hubungi?"

"Anak ku! Tidak seorang pun dalam pandangan ku yang sama langkahnya dengan aku kecuali seorang pemimpin yang tinggal di Mousul"

Lalu sebaik sahaja ia meninggal dunia, aku pun pergi ke Mousul dan menghubungi Pendeta tadi dan aku tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki ALLAH SWT. Kemudian sebaik sahaja ajalnya telah dekat pula, ku tanyakan kepadanya tentang siapa yang mesti aku ikuti. Ditunjukkan kepada ku orang soleh yang tinggal di Nasibin, aku datang kepadanya dan ku ceritakan hal ehwal ku kepadanya, lalu aku pun tinggal bersamanya selama waktu yang dikehendaki ALLAH SWT  pula.

Ketika ia hendak meninggal dunia, aku bertanya pula kepadanya. Maka disuruhnya aku menghubungi seorang pemimpin yang tinggal di 'Amuria, satu bandar yang di bawah pentadbiran kerajaan Rom. Aku pergi ke sana dan tinggal bersamanya, sedang sebagai bekalan hidup, aku berternak sapi dan kambing beberapa ekor.

Kemudian dekatlah pula ajalnya dan aku bertanya kepadanya, kepada siapa aku dipercayakan? Ia berkata: "Anak ku! Tidak seorang pun yang ku kenal serupa dengan kita keadaannya dan dapat ku serahkan engkau kepadanya. Tetapi sekarang telah dekat datangnya masa kebangkitan seorang Nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim secara murni. Beliau nanti akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi Kurma dan terletak diantara dua bidang tanah berbatu batu hitam! Seandainya kamu dapat pergi ke sana, temuilah dia! Beliau mempunyai tanda tanda yang jelas dan terang, ia tidak mahu makan dari hasil sedekah sebaliknya bersedia menerima hadiah dan di bahunya ada cop kenabian yang bila engkau melihatnya segeralah engkau mengenalinya!"

Suatu hari, berlalulah kafilah berkenderaan, lalu ku tanyakan dari mana mereka datang? Tahulah aku mereka dari jazirah Arab, maka ku tanyakan kepada mereka: "Bolehkah tuan-tuan membawa ku ke negeri kalian? Sebagai imbalannya ku berikan sapi dan kambing kambing ku ini kepada tuan sekelian!" "Baiklah!" jawab mereka.

Demikianlah mereka membawa ku dalam perjalanan sehingga sampai di suatu negeri yang bernama Wadi al-Qura. Di sana aku menerima penganiayaan, mereka menjual ku kepada seorang Yahudi. Ketika nampak oleh ku banyak pokok Kurma, aku berharap kiranya negeri inilah yang pernah disebutkan oleh Pendeta kepada ku dulu, yakni yang akan menjadi tempat hijrah Nabi yang ditunggua. Tapi ternyata sangkaan ku salah!

Mulai saat itu, aku tinggal bersama orang yang membeli ku sehingga pada suatu hari, datang seorang Bani Quraizah yang membeli ku pula dari tangannya. Aku dibawa ke Madinah dan demi ALLAH SWT, baru sahaja ku lihat negeri itu, aku pun yakin itulah negeri yang disebutkan dulu!

Aku tinggal bersama orang Yahudi itu dan bekerja di perkebunan kurma milik Bani Quraizah, sehingga datang saat dibangkitkan Rosulullah s.a.w. yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani 'Amar bin 'Auf di Quba.

Pada suatu hari, ketika aku berada di puncak pokok kurma, sedang majikan ku tengah duduk di bawahnya, dengan tiba tiba datang seorang Yahudi saudara sepupunya yang mengatakan padanya: "Bani Qilah celaka! Mereka berhimpun mengelilingi seorang lelaki di Quba' yang datang dari Makkah dan mendakwa dirinya sebagai Nabi!!"

Demi ALLAH! Baru sahaja ia mengucapkan kata-kata itu, tubuh ku pun gementar hingga pokok Kurma itu bagai bergoncang dan hampir sahaja aku jatuh menimpa majikan ku di bawah. Aku segera turun dan kata ku pada orang tadi: "APakah tuan?? Ada berita apa kah??"

Majikan ku mengangkat tangan lalu memukul ku sekuat tenaganya, ia menengking ku, "APA URUSAN MU DENGAN PERKARA INI!?? KEMBALI KE TEMPAT MU SEMULA DAN LAKUKAN KERJA KERJA MU!!!" Maka aku pun kembalilah bekerja...


Pertemuan Pertama

Setelah hari menjelang senja, ku kumpulkan segala yang ada pada ku, lalu aku keluar dan aku keluar pergi berjumpa Rosulullah s.a.w. di Quba'. Aku masuk kepadanya ketika baginda s.a.w sedang duduk bersama beberapa sahabatnya, lalu kata ku kepada mereka:

"Tuan-tuan adalah perantau yang sedang dalam kesempitan. Kebetulan saya ada mempunyai persediaan makanan yang telah ku janjikan untuk ku sedekahkan, setelah mendengar keadaan tuan-tuan maka pada pandangan ku tuan tuanlah yang lebih berhak dan paling layak menerimanya dan makanan tersebut telah pun ku bawa ke sini." 

Kemudian makanan tersebut saya letak di hadapan Rosulullah s.a.w. Sabda baginda (yang maksudnya:)

"Makanlah dengan nama ALLAH SWT"

Tetapi baginda s.a.w. tidak sedikit pun menghulurkan tangan untuk menjamah makanan itu. "Nah! Demi ALLAH! kata ku dalam hati, inilah satu dari tanda-tandanya....bahawa ia tidak mahu memakan harta sedekah!"

Aku kembali pulang, tetapi hari berikutnya, pagi pagi aku kembali berjumpa dengan Rosulullah s.a.w. sambil membawa makanan serta kata ku kepadanya:

"Saya lihat tuan enggan makan dari sedekah, tetapi saya ada mempunyai sesuatu yang ingin ku serahkan kepada Tuan sebagai hadiah". Lalu ku letakkan makanan di atasnya. Maka Sabda Baginda s.a.w. kepada sahabatnya (yg bermaksud:)

" Makanlah dengan menyebut nama ALLAH SWT"

Namun kali ini, Baginda s.a.w. ada sama makan bersama mereka. "Demi ALLAH!" kata ku dalam hati, "Inilah tanda yang kedua bahawa ia bersedia menerima hadiah!"

Aku kembali pulang dan tinggal di tempat ku beberapa lama. Kemudian aku pergi berjumpa dengan Rosulullah s.a.w. untuk ketiga kalinya dan ku temui Baginda s.a.w. sedang berada di Baqi', sedang menghantar jenazah dan dikelilingi oleh sahabat sahabatnya. Baginda s.a.w. memakai dua lembar kain lebar yang satu dipakainya untuk sarung dan yang satu lagi sebagai baju.

Ku ucapkan salam kepadanya dan aku menolehkan pandangan hendak melihatnya. Rupanya ia mengerti akan maksud ku, maka disingkapkan kain burdah dari lehernya hingga nampak pada bahunya tanda yang ku cari iaitu cop kenabian sepertimana yang pernah disebut oleh Pendeta beberapa waktu silam.

Melihat hal itu, aku meratap dan menciumnya sambil menangis lalu aku dipanggil menghadap oleh Rosulullah  s.a.w. Aku duduk di hadapannya lalu ku ceritakan kisah ku kepadanya sebagaimana yang ku ceritakan tadi.

Aku pun memeluk agama Islam, malangnya masalah perhambaan telah menjadi penghalang bagi ku untuk menyertai perang Badar dan Uhud. Lalu pada suatu hari Rosulullah s.a.w. bersabda kepada ku (yang maksudnya:)

"Mintalah pada majikan mu agar ia bersedia membebaskan mu dengan menerima wang tebusan."

Maka aku meminta pada majikan ku sebagaimana yang dikatakan oleh Rosulullah s.a.w. pada masa yang sama Rosulullah s.a.w menyuruh para sahabat untuk membantu ku dalam masalah kewangan. Demikianlah aku dimerdekakan oleh ALLAH SWT dan hidup  seorang muslim yang merdeka serta mengambil bahagian bersama Rosulullah dalam perang Khandaq dan peperangan yang lain.

Wednesday, October 6, 2010

Samb: Duta Islam Yang Pertama

"APA MAKSUD KAMU SEKALIAN DATANG KE KAMPUNG KAMI INI?? APAKAH HENDAK MENGHASUT DAN MEMBODOHI RAKYAT KECIL KAMI? TINGGALKAN SEGERA TEMPAT INI, JIKA TIDAK INGIN NYAWA KALIAN TERCABUT DARI JASAD!!"

Bagaikan ketenangan dan kemantapan samudera dalam, laksana terang dan damainya cahaya fajar, terpancarlah ketulusan hati "Mus'ab yang baik", dan bergeraklah  lidahnya mengeluarkan ucapan halus dan lemah lembut, katanya:

Sambungannya..

"Kenapakah tuan tidak duduk dan mendengarkan dulu? Seandainya tuan suka, nanti dapat menerimanya.
Sebaliknya jika tidak, kami akan menghentikan apa yang tidak tuan sukai itu!"

Sebenarnya Usaid seorang yang berakal dan berfikiran sihat. Dan sekarang ia diajak oleh Mus'ab untuk berbincang dan meminta pertimbangan kepada hati nuraninya sendiri. Yang dimintanya hanyalah agar ia bersedia mendengar dan bukan lainnya jika ia menyetujui, ia akan membiarkan Mus'ab dan jika tidak maka Mus'ab berjanji akan meninggalkan kampung dan masyarakat mereka untuk mencari tempat dan masyarakat lain dengan tidak merugikan ataupun dirugikan orang lain.

"Sekarang saya sedarkan diri" Kata Usaid, lalu menjatuhkan lembingnya ke arah kanan dan duduk mendengarkan. Sebaik saja Mus'ab membacakan ayat-ayat Al-Qur'an dan menghuraikan dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. maka dada Usaid pun mulai terbuka dan bercahaya, beralun dan berirama mengikuti dengan baik turunnya suara serta merasapi keindahannya. Dan belum lagi Mus'ab selesai dari huraiannya, Usaid pun berseru kepadanya dan kepada sahabatnya:

"Alangkah indah dan benarnya ucapan itu! Dan apakah yang mesti dilakukan oleh orang yang hendak memasuki agama ini?"

Maka sebagai jawapannya, gemuruhnya suara tahlil, serentak seakan hendak menggoncangkan bumi. Kemudian Mus'ab berkata:

"Hendaklah ia mensucikan diri, dan badannya, serta bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang Haq disembah melainkan ALLAH SWT"

Tidak berapa lama USaid meninggalkan mereka, kemudian ia kembali sambil memeras air dari rambutnya lalu ia berdiri sambil menyatakan pengakuannya bahawa tiada Tuhan yang Haq disembah melainkan ALLAH dan Muhammad s.a.w. itu utusan ALLAH SWT.

Secepatnya berita itupun tersebar. Keislaman Usaid diikuti oleh kehadiran Sa'ad bin Mu'az. Dan setelah mendengar huraian Mus'ab , Sa'ad merasa puas hati dan masuk Islam pula.

Langkah ini diikuti oleh Sa'ad bin 'Ubadah. Dan dengan  keIslaman mereka ini, beerti selesailah persoalan dengan berbagai suku yang ada di Madinah. Penduduk kota Madinah saling berdatangan dan bertanya sesama mereka:

"Jika Usaid bin Hudhair, Sa'ad bin 'Ubadah dan Sa'ad bin Mu'az telah masuk Islam, apalagi yang kita tunggu?? Marilah kita pergi kepada Mus'ab dan beriman bersamanya!"  Kata seorang lelaki yang ucapannya terpancar dari celah celah giginya..

Demikianlah duta Rosulullah s.a.w. yang pertama telah mencapai kejayaan cemerlang yang tiada taranya, suatu kejayaan yang memang wajar dan layak diperolehinya. Hari hari dan tahun tahun pun berlalu dan Rosulullah s.a.w. bersama para sahabatnya hijrah ke Madinah.


Syuhada Peperangan Uhud

Orang-orang Quraisy semakin geram dengan dendamnya, mereka menyiapkan tenaga untuk melanjutkan tindakan kekerasan terhadap hamba-hamba ALLAH SWT yang soleh. Terjadilah Peperangan Badar dan kaum Quraisy pun kecundang dan beroleh pengajaran pahit yang menghabiskan saki baki fikiran sihat mereka, hingga mereka berusaha untuk menebus kekalahan. Kemudian datanglah giliran perang Uhud dan kaum muslimin pun bersiap siap mengatur barisan. Rosulullah s.a.w berdiri di tengah barisan itu, menatap setiap wajah orang beriman, mencari orang yang sebaiknya membawa panji. Maka terpanggillah "Mus'ab yang baik" dan pahlawan itu tampil sebagai pembawa panji.

Peperangan berkobar lalu berkecamuk dengan sengitnya, pasukan panah mengabaikan arahan Rosulullah s.a.w., mereka meninggalkan tempat strategik di celah bukit setelah melihat orang orang Musyrik menderita kekalahan dan mengundurkan diri. Perbuatan mereka itu secepatnya merubah suasana hingga kemenangan kaum Muslimin beralih menjadi kekalahan!

Dengan tak disangka, pasukan berkuda Quraisy menyerbu kaum Muslimin dari puncak bukit, lalu tombak dan pedang pun berdentang bagaikan mengamuk, membantai kaum muslimin yang tengah kacau bilau. Melihat barisan kaum muslimin porak peranda, musuh pun menujukan serangan ke arah Rosulullah s.a.w. dengan maksud membunuhnya!

Mus'ab bin Umair ra. menyedari suasana gawat ini, maka diacungkannya panji setinggi tingginya dan bagaikan raungan singa ia bertakbir sekuat-kuatnya, lalu maju ke hadapan, melompat, mengelak dan berpusing lalu menerkam, itu bertujuan untuk menarik perhatian musuh kepadanya dan melupakan Rosulullah s.a.w. yg dengan demikian dirinya sendiri bagaikan membentuk barisan tentera.

Sungguh, walaupun seorang diri, tetapi Mus'ab bertempur laksana pasukan tentera besar, sebelah tangannya memegang bendera bagaikan perisai sedang yang sebelah lagi menebaskan pedang dengan matanya yang tajam. Musuh bertambah ramai juga, mereka hendak menyeberang dengan mengijak injak tubuhnya untuk mencapat Rosulullah s.a.w.

Berkata Ibnu Sa'ad:

"Diceritakan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad bin Syurahbil al-Abdari dari bapanya ia berkata: "Mus'ab bin Umair r.a. adalah pembawa panji di perang Uhud, tatkala barisan kaum Muslimin pecah, Mus'ab bertahan pada kedudukannya. Datanglah seorang musuh berkuda, ibnu Qumaiah namanya lalu menebas tangannya hingga putus, sementara Mus'ab mengucapkan "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rosul yang sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rosul". Lalu orang berkuda itu menyerangnya ketiga kalinya dengan tombak dan menusukkannya hingga tombak itu pun patah. Mus'ab pun gugur dan panjinya jatuh."

Gugurlah Mus'ab dan jatuhlah panji...gugur sebagai bintang dan mahkota para syuhada dan hal itu dialaminya setelah dengan keberanian luar biasa mengharungi kancah pengorbanan dan keimanan. Di saat itu, Mus'ab berpendapat bahawa sekiranya ia tewas, tentulah jalan para pembunuh akan terbuka lebar menuju Rosulullah s.a.w. tanpa ada pembela yang akan mempertahankannya. Demi cintanya yang tiada had pada Rosulullah dan cemas memikirkan nasibnya nanti, ketika ia akan pergi berlalu, setiap kali pedang jatuh menerbangkan sebelah tangannya, dihiburkan dirinya dengan ucapan:

" Muhammad itu tiada lain adalah seorang Rosul dan sebelumnya sudah didahului oleh beberapa Rosul"

Kalimah itu kemudian dikukuhkan sebagai wahyu ini diulang dan dibacanya sampai selesai hingga akhirnya ayat al-Qur'an yang selalu dibaca kaum muslimin.


Tamat Peperangan Uhud

Setelah peperangan tamat, ditemukan jasad pahlawan agung yang syahid itu terbaring dengan wajah menelungkup ke tanah digenangi darahnya yang mulia dan seolahnya tubuhnya yang telah kaku itu masih takut menyaksikan bila Rosulullah s.a.w. ditimpa bencana, maka disembunyikan wajahnya agar tidak melihat peristiwa yang dikhuatiri dan ditakutinya itu. Atau mungkin juga ia merasa malu kerana telah gugur sebelum hatinya tenteram beroleh kepastian akan keselamatan Rosulullah s.a.w. dan sebelum ia selesai menunaikan tugasnya dalam membela dan mempertahankan Rosulullah s.a.w sampai mencapai kejayaan.

Rosulullah s.a.w. bersama para sahabat datang memeriksa medan pertempuran untuk menyampaikan perpisahan kepada para syuhada. Seketika sampai di tempat terbaringnya jasad Mus'ab, bercucurlah dgn deras air matanya. Berkata Khabbah Ibn 'Urrat yang bermaksud:

"Kami hijrah di jalan ALLAH SWT bersama Rosulullah saw dengan mengharap keredhaanNya sehingga pastilah sudah pahala di sisi ALLAH SWT. Diantara kami yang telah berlalu sebelum menikmati pahalanya di dunia ini sedikitpun juga. Diantaranya ialah Mus'ab Bin Umair r.a. yang tewas di perang Uhud. Tiada sehelai kain pun untuk menutupinya selain sehelai Burdah. Andai ditaruh di atas kepalanya, terbukalah kedua belah kakinya, sebaliknya bila ditutup kakinya, terbukalah kepalanya. Maka sabda Rosulullah s.a.w. "Tutupkanlah pada bahagian kepalanya dan kakinya tutupilah dengan rumput zikir!"

Betapapun luka pedih dan duka yang mendalam menimpa Rosulullah s.a.w. kerana Hamzah bin Abdul Mutholib dan lain lain sahabat tetapi Rosulullah s.a.w. tidak melupakan dari berhenti sekejap mendekati jasad dutanya yang pertama, untuk melepaskan dan meluahkan isi hatinya, Rosullulah s.a.w. berdiri di hadapan Mus'ab bin Umair r.a. dengan pandangan mata yang pendek bagai menyelubunginya dengan kesetiaan dan kasih sayang dan dibacakannya ayat sepertimana berikut:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا 
لِّيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Terjemahannya:

"Diantara orang orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH; mak dianata mereka itu ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan diantaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (Berlakunya yang demikian) supaya ALLAH membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka dan menyeksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Ahzab: 23-24)

Kemudian, dengan perasaan terharu, pandangan mata baginda s.a.w. tertumpu ke arah Burdah yang digunakan untuk kain tutupnya seraya baginda bersabda yang bermaksud:

"Ketika di Makkah dulu, tidak seorang pun aku melihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripada mu. Tetapi sekarang ini, dengan rambut mu yang kusut masai hanya dibaluti sehelai burdah."

Seterusnya baginda s.a.w. mengarahkan pandangan sayu ke medan perang serta para Syuhada' kawan kawan Mus'ab bin Umair r.a. yang terlentang di atasnya, Rosulullah s.a.w. berseru yg maksudnya:

"Sesungguhnya, Rosulullah s.a.w. akan menjadi saksi nanti di hari Kiamat bahawa tuan tuan semua adalah Syuhada' di sii ALLAH SWT"

Kemudian sambil berpaling ke arah para sahabat yang masih hidup, baginda s.a.w. bersabda yang maksudnya:

"Wahai manusia! berziarahlah dan berkunjunglah kepada mereka serta ucapkanlah salam! Demi ALLAH SWT yang menguasai nyawa ku, tidak seorang muslim pun sampai hari Kiamat yang memberi salam kepada mereka selain pasti mereka akan menjawabnya"

Salam sejahtera ke atas mu wahai Mus'ab, salam sejahtera ke atas kamu sekelian wahai para syuhada' .. Assalamu'alaykum warahmatullahi wabarokaatuh!!!



*Dari kitab Rijalun Haula Ar-Rosul

Tuesday, October 5, 2010

Duta Islam Yang Pertama

MUS'AB BIN UMAIR R.A. 

Mus'ab bin Umair r.a. adalah dalah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang terkemuka. Ia adalah remaja Quraisy yang paling kacak dan tampan, penuh dengan jiwa dan semangat muda.

Para Muarrikh dan ahli riwayat memetik semangat kemudaannya dengan ayat "Seorang warga kota Makkah yang mempunyai nama paling harum."

Ia lahir dan dibesarkan dalam kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak seorang pun diantara anak anak muda Makkah yang beruntung dimanjakan oleh kedua orang tuanya sepertimana yang dialami oleh Mus'ab Bin Umair r.a.

Beliau adalah anak muda yang serba cukup, biasa hidup mewah dan manja. Kerana itu ia menjadi buah mulut anak-anak gadis Makkah dan menjadi bintang di tempat-tempat perjumpaan. Apatah lagi setelah keislamannya, ia meningkat sehingga menjadi buah cerita tentang kegigihan imannya, menjadi tamsil dan teladan dalam semagat kepahlawanan. Riwayat Mus'ab bin Umair r.a. adalah sangat mempersona. Mus'ab bin Umair r.a. adalah salah satu diantara peribadi peribadi kaum muslimin yang ditarybiyyah dengan didikan langsung oleh Muhammad s.a.w.


HIDAYAH ALLAH UNTUK MUS'AB BIN UMAIR R.A.

Suatu hari, anak muda ini mendengar berita yang tersebar luas di kalangan penduduk Makkah mengenai Muhammad al-Amin. Nabi Muhammad s.a.w. telah mengisytiharkan dirinya telah diutus oleh ALLAH SWT sebagai pembawa berita gembira mahupun duka, sebagai pendakwah yang mengajak umat beribadah kepada ALLAH.

Sebaik sahaja perhatian penduduk Makkah tertumpu pada berita itu dan tiada yang menjadi buah perbincangan mereka kecuali tentang Rasulullah s.a.w. serta agama yang dibawanya, maka anak muda yang manja ini paling banyak mendengar berita tersebut. Kerana walaupun usianya masih muda belia, tetapi ia menjadi bunga majlis tempat-tempat perjumpaan yang selalu diharapkan kehadirannya oleh teman-temannya. Gayannya yang tampan, menarik dan otaknya yang cerdas merupakan keistimewaan Ibn Umair dan menjadi daya pemikat dan pembuka jalan penyelesaian berbagai masalah.

Diantara berita yang didendarinya ialah bahawa Rasulullah s.a.w. bersama pengikutnya biasa mengadakan perjumpaan di suatu tempat yang selamat dari gangguan gerombolan Quraisy dan ancaman-ancamannya iaitu di kaki bukit Shafa, di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Keraguannya tiada bertahan lama, hanya sebentar waktu itu ia ke rumah Arqam menyertai rombongan itu. Di tempat itu Rasulullah s.a.w sering berkumpul dengan para sahabanya, solat beribadah kepada ALLAH Yang Maha Akbar.

Baru sahaja Mus'ab mengambil tempat duduknya, ayat-ayat al-Qur'an mulai mengalir dari qalbu Rasulullah s.a.w. bergema melalui kedua bibirnya dan sampai ke telinga, meresap ke hati para pendengar. Di senja itu, Mus'ab pun terpesona oleh untaian kalimah Rasulullah s.a.w. yang tepat menemui sasaran pada qalbunya!

Hampir sahaja anak muda ini terangkat dari tempat duduknya kerana terasa haru dan seakan-akan terbang kerana gembira. Tetapi Rasulullah s.a.w. menghulurkan tangannya yang penuh berkat dan kasih sayang dan mengurut dada pemuda pemuda yang sedang panas bergelojak hingga tiba tiba menjadi sebuah lubuk hati yang tenang dan damai, tak ubahnya bagai lautan yang teduh dan sangat dalam, pemuda yang telah islam dan iman itu nampak telah memiliki ilmu dan hikmah yang luas dari ukuran usianya dan mempunyai kepekatan hati yang mampu merubah jalan sejarah...!!


Ibu Yang Dikasihi Menjadi Penentang

Adalah Khunas bt Malik, ibunda Mus'ab, seorang yang berkeperibadian kuat dan pendiriannya tidak dapat ditawar atau diganggu gugat. Ia wanita disegani malah ditakuti!

Ketika Mus'ab memeluk Islam, tiada suatu kekuatan pun yang ditakutinya dan dikhuatirkan selain ibunya sendiri, bahkan walau seluruh seluruh penduduk Makkah beserta berhala-berhala para pembesar dan padang pasirnya berubah rupa menjadi satu kekuatan yang menakutkan yang hendak menyerang dan menghancurkannya, tentulah Mus'ab akan menganggapnya ringan dan remeh. Tetapi tentangan dari ibunya sendiri bagi Mus'ab tidak dapat dianggap kecil. Ia pun segera berfikir matang dan mengambil keputusan untuk merahsiakan keislamannya sampai terjadi sesuatu yang dikehendaki ALLAH SWT. Demikianlah ia sentiasa berulang alik ke rumah Arqam menghadiri majlis Rasulullah s.a.w. sedang hatinya merasa bahagia dengan keimanan dan sedia menebusnya dengan marah murka ibunya yang belum mengetahui berita keislamannya.

Namun di KOta Makkah, tiada rahsia yang tersembunyi, apalagi dalam suasana seperti itu. Mata kaum Quraisy berkeliaran di mana mana mengekori setiap langkah dan mengintai setiap jejak. Usman bin Thalhah telah melihat Mus'ab memasuki rumah Arqam secara sembunyi. Kemudian pada hari yang lain dilihatnya pula ia solat seperti Muhammad s.a.w. Secepat kilat ia berjumpa dengan ibu Mus'ab dan mengadukan berita yang dijamin kebenarannya!


Ujian Pun Tiba

Berdirilah Mus'ab di hadapan ibu dan keluarganya serta para pembesar Makkah yang berhimpun di rumahnya. Dengan hati yang yakin dan pasti, dibacakan ayat-ayat Al-Qur'an yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mencuci hati nurani mereka, mengisinya dengan hikmah dan kemuliaan, kejujuran dan ketakwaan.

Ketika si Ibu hendak membungkam dan menutup mulut anaknya dengan tamparan yang keras, tiba tiba tangan yang terhulur bagai anak panah itu lemah longlai dan jatuh terkulai sebaik melihat nur atau cahaya yang membuat wajahnya yang telah berseri cemerlang itu kian berwibawa dan patut diindahkan, menimbulkan suatu ketenangan yang mendorong dihentikan tindakan tersebut.

Atas rasa keibuannya, ibunda Mus'ab menahan dari memukul dan menyakiti puteranya tetapi tidak dapat menahan diri dari tuntutan itu ke suatau tempat terpencil di rumahnya. Lalu dikurung dan dipenjarakan Mus'ab dengan kejamnya. Demikianlah beberapa lama Mus'ab tinggal dalam kurungan sampai saat beberapa orang Muslimin berhijrah ke Habsyah. Mendengar berita hijrah ini, Mus'ab pun mencari muslihat dan berjaya mengelabui mata ibu dan penjaga-penjaganya, lalu pergi lagi berhijrah kedua kalinya bersama para sahabat atas arahan Rasulullah s.a.w. dan kerana taat kepadanya.


Ujian Terus Menimpa

Samada di Habsyah ataupun di Makkah, ujian dan penderitaan yang mesti dialami Mus'ab disetiap saat dan tempat kian meningkat. Ia telah selesai dan berjaya menempa corak kehidupannya mengikut cara yang modelnya telah dicontohkan Muhammad s.a.w.

Pada suatu hari, ia tampil di hadapan beberapa orang Muslimin yang sedang duduk sekeliling Rasulullah s.a.w. Sebaik memandang Mus'ab, mereka menundukkan kepala dan memejamkan mata, beberapa orang nampak matanya basah kerana duka. Mereka melihat Mus'ab memakai jubah buruk yang bertampal-tampal, padahal belum lagi hilang dari ingatan mereka yang pakaiannya sebelum masuk Islam tak ubahnya bagaikan kembang di taman, berwarna warni dan menghamburkan bau yang wangi.

Adapun Rasulullah s.a.w. menatapnya dengan pandangan penuh erti, disertai cinta kasih dan syukur dalam hati, pada kedua bibirnya keluar ucapan hikmah mulia dgn sabdanya: (Mafhum)

"Dahulu saya melihat Mus'ab ini tak ada orang yang menandingi dalam memperolehi kesenangan dari orang tuanya kemudian ditinggalkannya semua itu demi cintanya kepada ALLAH dan RasulNya"

Semenjak ibunya merasa putus asa untuk mengmbalikan Mus'ab kepada agama yang lama, ia telah menghentikan segalam pemberian yang biasa dilimpahkan kepadanya, bahkan tidak membenarkan makanannya dimakan oleh org yang telah mengikngkari berhala, sebaliknya ia hanya patut mendapat kutukan daripadanya walau anak kandungnya sendiri.

Akhir pertemuan antara Mus'ab dan ibunya, ketika perempuan itu cuba hendak mengurungnya lagi sewaktu pulang dari Habsyah. Ia pun bersumpah dan menyatakan tekadnnya untuk membunuh orang-orang suruhan ibunya sekiranya rancangan jahat tersebut dilakukan. Kerana si Ibu telah mengetahui kebulatan tekad puteranya yang telah mengambil satu keputusan, maka tiada jalan lain baginya kecuali melepaskannya dengan cucuran air mata, sementara Mus'ab mengucapkan selamat berpisah dgn menangis pula.

Saat perpisahan menggambarkan kepada kita kegigihan luar biasa dalam kekafiran pihak ibu, sebaliknya kekuatan tekad yang lebih besar dalam mempertahankan keimanan dari pihak anak. Ketika ibunda mengusirnya dari rumah sambil berkata:

"Pergilah sesuka hati mu! Aku bukan ibu mu lagi!

Maka Mus'ab menghampiri ibunya sambil berkata:

"Wahai bunda! Telah anakanda sampaikan nasihat pada bunda dan anakanda menaruh kasihan pada bunda. Kerana itu saksikanlah bahawa Tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya"

Dengan murka dan naik darah ibunya menyahut:

"Demi bintang! Sekali kali aku tidak akan masuk ke dalam Agama mu itu. Otak ku boleh jadi rosak dan buah fikiranku tidak akan diindahkan orang lain!"

Demikianlah Mus'an bin Umair r.a. meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dialaminya selama itu dan memilih hidup miskin dan sengsara. Pemuda kacak itu, kini telah menjadi seorang fakir dengan pakaiannya yang kasar dan usang, sehari makan dan beberapa hari menderita kelaparan. Tetapi jiwanya telah merobah menjadi seorang manusia lain iaitu manusia yang dihormati, penuh wibawa dan disegani.


Dilantik Sebagai Duta Islam Yang Pertama

Suatau hari, Mus'ab dipilij oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjalankan tugas penting, saat itu ia menjadi duta atau utusan Rasul ke Yathrib untuk mengajarkan seluk beluk Agama kepada orang orang Yathrib yang telah beriman dan berbai'ah kepada Rosulullah s.a.w. di bukit 'Aqabah. Selain itu, ia mengajak orang-orang lain menganut agama ALLAH serta mempersiapkan bandar Yathrib untuk menyambut Hijrahtur Rosul sebagai peristiwa besar.

Sebenarnya di kalangan sahabat ketika itu masih ramai yang lebih tua, lebih berpengaruh dan lebih dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rosulullah s.a.w. daripada Mus'ab. Tetapi Rosulullah s.a.w. menjatuhkan pilihan kepada "Mus'ab yang baik". Dan bukan tidak menyedari sepenuhnya bahawa beliau telah memikulkan beban tugas amat penting ke atas bahu pemuda itu dan menyerahkan kepadanya tanggungjawab dan nasib agama Islam di bandar Yathrib (yg kemudiannya dikenali sebagai Madinah), suatu kota yang tak lama lagi akan menjadi bandar hijrah, pusat para pendakwah dan tempat berhimpunnya penyebar agama dan pembela Islam. Mus'ab memikul amanah itu dengan bekalan kurnia ALLAH SWT kepadanya berupa fikiran yang cerdas dan budi pekerti yang luhur. Dengan sifat zuhud, kejujuran dan kesungguhan hati, ia berjaya melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah hingga mereka berduyun duyun memeluk agama Islam.


 Madinah

Sebaik sahaja sampai di Madinah, ia mendapati kaum Muslimin di sana tak lebih dari dua belas orang, yakni hanya orang-orang yang berbai'ah di bukit 'Aqabah. Tetapi tidak sampai beberapa bulan kemudian, meningkatlah orang yang sama-sama memenuhi panggilan ALLAH dan RosulNya.

Pada musim haji berikutnya dari perjanjian 'Aqabah, kaum muslimin Madinah menghantar perutusan yang mewakili mereka berjumpa dengan Nabi s.a.w. dan perutusan itu dipimpin oleh guru mereka yang juga sebagai duta yang dihantar Nabi kepada mereka iaitu Mus'ab bin Umair r.a.!

Dengan tindakannya yang tepat dan bijaksana, Mus'ab bin Umair r.a.telah membuktikan pilihan Rosul s.a.w. ke atas dirinya itu sangat tepat. Is memahami tugas dengan sepenuhnya hingga tidak terlanjur melampaui batasan yang telah ditetapkan. Ia sedar bahawa tugasnya adalah menyeru kpd ALLAH SWT, menyampaikan berita gembira  iaitu dengan lahirnya suatu agama yang menagajak manusia mencapai hidayah ALLAH SWT, membimbing mereka ke jalan yang lurus, akhlaknya mengikuti cara hidup Rosulullah s,a,w, yang diimaninya, ia memegang amanah yang hanya menyampaikan belaka.


Dakwah di Madinah

Di Madinah Mus'ab bin Umair r.a. tinggal sebagai tetamu di rumah As'ad bin Zararah r.a. Dengan didampingi As'ad, ia pergi mengunjungi kabilah kabilah dari rumah ke rumah dan tempat-tempat-tempat perjumpaan untuk membacakan ayat-ayat suci dari ALLAH, menyampaikan kalimatullah "bahawa ALLAH Tuhan Maha Esa" secara berhati-hati.

Pernah ia menghadapi beberapa peristiwa yang mengancam keselamatan diri serta sahabatnya yang nyaris celaka kalaulah sahaja tidak kerana kecerdasan akal dan kebesaran jiwanya (asbab). Suatu hari, ketika ia sedang memberikan pelajaran kepada orang ramai, tiba-tiba diserang Usaid BIn Hudhair, kepala suku kabilah Abdul Azyhal di Madinanh. Usaid menuding Mus'ab dengan lembingnya. Betapa marah dan murkanya Usaid, menyaksikan Mus'ab yang dianggap akan mengacau dan memesongkan pengikutnya dari agama mereka serta mengenalkan Tuhan Yang Maha Esa yang belum pernah merka kenali dan mereka dengar sebelum itu.

Pada Usaid, tuhan tuhan mereka yang bersipuh lena di tempatnya masing masing mudah dihubungi secara nyata. Jika seseorang memerlukan salah satu diantaranya, tentulah ia akan mengetahui tempatnya dan segera pergi mengunjunginya untuk mengadukan sebarang masalah dan kesusahan serta menyampaikan permohonan. Demikianlah yang tergambar dan terbayang dalam fikiran suku Abdul Asyhal. Tetapi Tuhan Muhammad yang diserukan beribadah kepadaNya oleh utusan yang datang kepada mereka itu, tiadalah yang mengetahui tempat dan tidak seorang pun yang dapat melihatNya.

Begitu dilihat Usaid Bin Hudhair datang dengan marah bagaikan api sedang berkobar kpd orang orang Islam yang duduk bersama Mus'ab, mereka pun merasa kecut dan takut. Tetapi  "Mus'ab yang baik" tetap bertenang dengan airmuka tidak berubah.

Bagaikan Singa hendak menerkam, Usaid berdiri di depan Mus'ab dan As'ad bin Zararah, ia menengking:

"APA MAKSUD KAMU SEKALIAN DATANG KE KAMPUNG KAMI INI?? APAKAH HENDAK MENGHASUT DAN MEMBODOHI RAKYAT KECIL KAMI? TINGGALKAN SEGERA TEMPAT INI, JIKA TIDAK INGIN NYAWA KALIAN TERCABUT DARI JASAD!!"

Bagaikan ketenangan dan kemantapan samudera dalam, laksana terang dan damainya cahaya fajar, terpancarlah ketulusan hati "Mus'ab yang baik", dan bergeraklah  lidahnya mengeluarkan ucapan halus dan lemah lembut, katanya:



InsyaALLAH, bersambung..


*Dari kitab Rijalun Haula ar-Rosul

Monday, October 4, 2010

Pengenalan

Bismillahirrohmanirrohim

Segala puji pujian hanyalah layak dipersembahkan ke atas Mu Ya ALLAH, pemilik mutlak sekelian alam ini, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sungguh Dia tidak tidur mahupun mengantuk. Seluruh jiwa dan jasad ini adalah milikNya jua. Tiada yang layak disembah melainkan ALLAH.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ahlil bait dan para sahabat baginda r.anhum.

Dengan ini selaku hambaNya yang lemah, aku mengambil peluang untuk menyiarkan semula kisah kisah dari Sirah Nabawiyyah serta sirah Sahabat r.anhum dalam blog. Ianya bukan karya atau kajian aku sendiri yang sememang langsung tak layak pun sedari awal untuk menulis tentang insan insan hebat ini. Aku insyaALLAH akan salin semula kisah kisah mereka ini dari kitab kitab yang ada pada kebanyakan rumah masa kini.

Pepatah silam pun mengatakan, 'tak kenal maka tak cinta' maka atas alasan apa lagi yang hendak kita nyatakan lagi sekiranya kita tak mengenali Baginda Rosul s.a.w. sedangkan kita mengaku umat dan mengaku menyintai baginda. Bolehkah kita selaku insan biasa menerima pengakuan kata kata cinta dari seseorang yang tak berusaha pun untuk mengenali kita malah langsung tak mengenali kita pun. Bagaimana nanti kita mahu mengaku sebagai umatnya kalau kita tak mengenali baginda? Apatahlagi mengamalkan sunnah sunnahnya sedangkan kita tak kenal pun baginda s.a.w.  Ketahuilah wahai diri, mengenali serta menyintai Nabi itu adalah WAJIB hukumnya ke atas kami selaku pengaku umatnya. Maka mudah mudahan, ALLAH menyemarakkan rasa cinta kita kepada baginda s.a.w. bermula dengan kita berusaha untuk mengenali baginda s.a.w.

Maka kita semua maklum dalam hidup ini, kalau kita mahu berjaya dalam sesuatu bidang, sayugianya kita bergurukan atau sekurangnya bertanyakan kepada mereka yang telahpun berjaya merintis jalan dalam bidang yang berkenaan., Itulah sunnahtullah yang telah ALLAH gariskan dalam hidup di dunia ini. Maka untuk kita berjaya dunia dan akhirat mengikut acuan atau sibghah yang ALLAH redho, manakah contohnya? Siapakah orangnya? Dia itulah manusia istimewa, penghulu sekelian Nabi iaitulah Nabi Muhammad bin Abdullah bin Abd Mutholib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihrin bin    s.a.w.  Dan sahabat sahabat kekasihnya yang telah diiktiraf sehinggakan mereka mendapat 'title' rodhiallahu anhu setiap kali nama-nama mereka disebut, melambangkan betapa ALLAH redho akan hidup mereka semasa di dunia ini lagi dan redho ALLAH untuk mereka di akhirat kelak!

Dewasa ini kita kekurangan kalaupun tidak ketiadaan contoh teladan untuk kita ikuti dan contohi. Nilai nilai barat dan asing telah mula menular dalam kehidupan muslim seluruh dunia. Umat menjadi keliru yang mana satu yang patut diikuti, yang mana satu yang betul? Semuanya kelihatan 'logik' dan masuk dek akal, kena pula si pendakyah begitu bijak memainkan kata-katanya, maka yang baik nampak buruk dan yang buruk nampak baik. Berapa ramai yg mencebik kpd mereka yang mengamalkan sunnah zohir seperti berjubah, berserban, berjanggut atau berniqob, jika dibandingkan dengan berapa ramai yg mencebik pada yang memakai topi besbol (topi sudu) atau wanita yang melepaskan rambutnya?  Bukankah umat ini telah keliru mana yang baik , mana yang buruk? (kecuali mereka yang diberikan hidayah oleh ALLAH). Cara hidup Islam menjadi begitu asing dan jauh dari kita, poligami dipandang sinis, pernikahan ditangguh tangguh kerana mahu menghimpun harta duniawi terlebih dahulu,  ibuayah dianggap membebankan, isteri tak menghormati suami dsbnya. Ini semuanya bukan dari cara hidup yg diajarkan oleh Islam tetapi cara hidup kebaratan yg telah dipantakkan dalam minda dan cara hidup kita masa kini (termasuklah aku!)

Maka marilah kita bersama sama terutama diri ku sendiri untuk kita sama sama menelusuri kisah hidup insan agung ini Rosulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.anhum. InsyaALLAH dengan izinNya Yang Maha Esa juga akan diselitkan juga kisah para tobien dan para imam yang soleh dan muktabar seperti imam mazhab yang empat. Namun kemampuan diri ini amatlah terbatas, moga moga ALLAH memberikan kekuatan untuk aku terus beristiqomah menulis dan menyalin kisah kisah kisah manusia manusia istimewa ini insyaALLAH. Semoga ALLAH memilih aku dan kita semua untuk sama sama menelusuri jalan jalan menuju ke arah cahaya ilahi yg telah dirintis oleh kekasih kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat r.anhum dan org org soleh setelah mereka.

Tuan puan bebas untuk mengambil kisah kisah ini samada untuk dicetak sebar kepada muslim lain, rakan rakan atau untuk simpanan dan rujukan peribadi. Semoga usaha yang sedikit ini dikira sebagai amal soleh disisiNya walau sebesar zarah cuma. Moga moga ALLAH menyelamatkan diri ku dan keluarga dan orang orang yang aku sayangi serta umat ini seluruhnya dari azab siksa Neraka yang tak terperi sakitnya di akhirat kelak. Lindungilah kami Ya ALLAH dari siksa api Neraka Mu! Amma ba'du ...