Followers

Sunday, December 12, 2010

Khadijah Binti Khuwailid r.anha I

Nama Ibu kaum mukminin ini ialah Khadijah Binti Khuwailid ibn Asad ibn 'Abd al-'Uzza ibn Qusay ibn Kilab. (bertemu nasab dengan leluhur Nabi s.a.w. !) Ibunya bernama Fatima binti Za'ida yang berketurunan daripada salah satu kabilah lain dari suku kaum Quraisy juga.


Nabi Muhammad saw pula ialah Muhammad ibn 'Abdullah ibn Abd al Mutholib ibn Hashim ibn 'Abd Manaf ibn Qusay ibn Kilab.  Maka ini bermakna Rosulullah s.a.w. adalah salah seorang daripada sepupunya (jauh) atau salah seorang daripada anak saudaranya menerusi moyangnya Qusay bin Kilab.  Namun oleh kerena pada asbabnya Rosulullah s.a.w. tergolong daripada generasi muda dan tinggal jauh dari kediaman Khadijah r.anha maka ia tidak kenal akan Rosulullah s.a.w. yang sudah mula bekerja sebagai peniaga dan orang upahan.

Latarbelakang

Khadijah r.anha sendiri adalah merupakan seorang yang bangsawan dan terhormat serta kaya raya. Dia telah mewarisi banyak  harta dan perniagaan atau perdagangan kedua bekas suaminya. Kadang kadang dia meminjamkan wang kepada peniaga peniaga Quraisy yang boleh dipercayai dan berkongsi keuntungan yang didapati dan kadang kadang dengan modal peminjam peminjam, dia melabur dalam perniagaan kafilah. Apabila kafilah2 ini pulang daripada rombongan perniagaan, keuntungannya dibahagikan sama rata secara 'adil.

Dia juga mempunyai pekerja pekerja dan agen agennya sendiri di Makkah yang bekerja untuknya atau pun untuk diri mereka sendiri. Kadang kadang mereka mengupah orang membawa dagangannya keluar dari Hijjaz atas dasar mudarabah. (Keuntungan dikongsi antara pemodal dan pengusaha)


Berdagang ke Syiria

Dengan taqdirnya ALLAH SWT, pada suatu hari, anak saudara Khadijah r.anha, Khuzaimah yg sebaya dengan Rosulullah s.a.w. telah menceritakan akan sifat sifat amanah, jujur, ikhlas dan kemuliaan akhlak Rosullah s.a.w. kpdnya. INi adalah hasil dari pengalaman perniagaan bersama sama dengan baginda Rosul s.a.w. dan dari itu, beliau telah mencadangkan kpd Khadijah r.anha untuk mengambil Rosulullah s.a.w. bekerja dengannya.

Khadijah r.anha pun memanggil Rosulullah s.a.w. untuk bertemu dengannya dan menawarkan baginda s.a.w. membawa perniagaannya ke Syiria (Syam) dan memperniagakan dagangannya itu mengikut kemampuan baginda s.a.w.  Dia menjanjikan bayaran upah yang lebih daripada biasa yang dibayar kepada orang lain. Setelah selesai seperti ap ayang dirancangkan, maka berangkatlah baginda s.a.w. bersama sama hamba Khadijah r.anha yg bernama Maysara ke Syiria. Diriwayatkan bahawa pada waktu panas terik, Maysara ternampak dua Malaikat melindungi Rosulullah s.a.w. (riwayat lain - awan) dari panas terik Matahari.

Setelah beberapa lama, Rosulullah s.a.w. telah berjaya memperdagangkan semua barangan dagangannya dan membeli pula barang barang yang difikirnya baik dan menguntungkan. Maka bertolaklah kafilah baginda s.a.w. pulang ke Makkah. Baginda s.a.w. tidak berhenti lama di perjalanan dan akhirnya kafilahnya selamat sampai ke Makkah.

Khadijah r.anha amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Rosulullah s.a.w. darihal menguruskan barangan dagangannya itu. Khadijah r.anha telah menaikkan lagi upah bagida s.a.w.  Maysara pula telah menceritakan akan perihal kemu'jizatan baginda s.a.w. serta akhlaknya yang tinggi. Beliau juga menceritakan betapa sekiranya dia makan bersama Rosulullah s.a.w., mereka tak pernah merasa lapar atau kekurangan makanan. Kata beliau:

"Apabila kami hidangkan makanan, lalu kami makan sekenyang kenyangnya dan lalu kami dapati banyak lagi makanan yang tinggal yang boleh diberikan kepada orang orang miskin yang lalu di situ."

Khadijah tertarik akan hal ini dan mahu mengujinya sendiri. Lalu beliau telah menyediakan sedulang penuh tamar yang masih segar dan menjemput saudara perempuannya 'Hala', Rosulullah s.a.w. dan beberapa orang lain. Mereka makan daripada dulang itu hingga kenyang, tetapi dulang itu masih juga kelihatan penuh seperti sebelum mereka makan  (Ruj kitab Al Muhabbar, m/s:78)


Kisah Dua Insan Mulia Ini pun Bermula

Beberapa bulan kemudian, Khadijah r.anha menaikkan pangkat peniaga mudanya kpd jawatan Pengurus bagi Kafilah perniagaannya berserta dengan beberapa lagi tanggungjawab tambahan.

Sebenarnya sebelum itu, Khadijah r.anha telah pun mendengar tentang sifat jujur, amanah, keluhuran budi serta ketinggian akhlak dan kesucian 'amalan Rosulullah s.a.w. Dia juga sedar akan kebolehan luar biasa Rosulullah s.a.w. dan bolehlah dikatakan beliau sudah tertarik kepada baginda s.a.w. darihal ini. Sementelah baginda Rosul s.a.w. memang terkenal sehingga digelar Al-Amin oleh masyarakat Jahilliyyah Quraisy pada masa itu. Baginda s.a.w. juga terkenal dengan gelaran As-Saddiq (Yg Benar)


Sejarah Silam Ummul Mukminin Pertama


Suami Pertama. Khadijah r.anha berketurunan daripada keluarga kelas pertengahan yang dihormati di Makkah. Beliau telah berkahwin dengan seorang kaya yang bernama Abu Hala Hind bin al Nabbash bin Zurara daripada Bani Tamin. Dia memperoleh beberapa orang anak lelaki bernama Hind r.a daripada suaminya ini dan dalam masa yang sama, suaminya meninggal dunia. Anaknya ini juga memeluk Islam dan turut berperang di Badr dan Uhud. Di Uhud dia turut serta dalam lubang kubur Syuhada Hamzah r.a. untuk meletakkan jasad Hamzah r.a yang mulia. Beliau akhirnya meninggal dunia kerana wabak penyakit di Basra.


Suami Kedua

Setelah itu, beliau berkahwin pula dengan seorang saudagar lain bernama 'Atiq bin 'A'idh @ 'Abid bin 'Abd Allah bin 'Umar bin Makhzum. Daripada suami ini, beliau mendapat seorang anak perempuan bernama Hind. Sebaik sahaja melahirkan anak ini, suaminya meninggal dunia.

Umur Khadijah r.anha 40 tahun tetapi kulitnya cerah dan segar. Rambutnya hitam dan berkilat. Selalunya beliau memakai baju berwarna gelap dan bermutu. Beliau juga pandai memilih barang barang kemas. Biasanya beliau memakai barang barang kemas dari perak dan batu batu permata hijau kebiru biruan seperti cincin, subang. gelang dan seutas rantai yang amat halus buatannya. Dia seorang yang cerdik dan tidak mudah ditipu. Dia tak pernah mengalami kerugian dengan menyerahkan unta unta perniagaannya kepada seseorang yang mungkin menghilangkan diri dengan unta untanya di padang pasir. Dia memiliki seorang hamba perempuan yang amanah untuk menguruskan urusan rumahtangga dan seorang hamba lelaki bernama Maysara untuk berkhidmat kepadanya.

Muhammad s.a.w. berusia lima belas tahun lebih muda darinya. Baginda adalah seorang lelaki yang bersopan dan berperasaan halus, bertabiat tenagn dan bukanlah seorang lelaki yang suka melayan wanita. Baginda s.a.w. tidak berminat perkara sebegini dan hanya mengambil berat hal urusannya sendiri.

Khadijah r.anha pula adalah seorang majikan yang baik hati. Dia amat menghargai apa yan dilakukan oleh peniaga mudanya dan juga apa apa yang dicadangkan olehnya untuk masa hadapan. Khadijah r.anha merasa gembira dengan kehadiran baginda s.a.w. dan lama kelamaan beliau kurang berminat lagi dengan bidang perniagaan namun masih mengalakkan Muhammad s.a.w. melakukan apa sahaja pekerjaan dengan bebas.


Meminta Nasihat Waraqoh Ibn Naufal

Akhirnya Khadijah r.anha telah pergi untuk meminta nasihat dari Waroqoh Ibn Naufal bin Asad iaitu sepupunya yang beragama Nasrani. Waroqoh ini banyak mempelajari kitab kitab samawi dan mempunyai banyak ilmu berkenaan kebudayaan purba yang dibawa turun termurun. Khadijah r.anha menerangkan segala apa yang telah diceritakan oleh hambanya Maysara berkenaan dengan Muhammad saw. Waroqoh yg ketika itu berusia lanjut telah berkata:

"Jika ini benar, Muhammad s.a.w. ini pasti akan menjadi Nabi bagi orang orang yang ada ini. Saya tahu bahawa seorang Nabi akan datang untuk orang orang ini. Mungkin masanya telah pun tiba!"

Dengan rasa puas hati, Khadijah r.anha pulang ke rumahnya dan memanggil Muhammad s.a.w. Khadijah r.anha juga bercakap terus terang akan apa yang ada dalam fikirannya.:

"Wahai sepupuku, aku suka kepada mu kerana hubungan kita dan juga sebab kedudukan mu yang mulia di kalangan kaum mu. Sifat benar mu, amanah mu dan akhlak yang baik adalah kejayaanmu" 

Kemudian Khadijah r.anha menawarkan dirinya untuk berkahwin dengan Muhammad s.a.w. dengan kata kata yang mudah sekali. Muhammad s.a.w. pula terus menerimanya dengan rasa gembira.  (Sirah Ibn Hisyam m/s:120-121)


Bersambung...

Akan datang InsyaALLAH - Maysara Berbincang Dengan Muhammad s.a.w!





1 comment: